Pencemaran Sg Selangor: Perlu tindakan tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor digesa bertindak tegas dan drastik dalam menangani masalah pencemaran bau Sungai Selangor yang sering berlaku berpunca daripada kecuaian pihak industri.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata Sungai Selangor menjadi sumber air mentah untuk dirawat di empat Loji Rawatan Air (LRA) untuk membekalkan sumber air terawat kepada 60 peratus keperluan di Lembah Kelang.

- Advertisement -

“Ini adalah kali kelima berlakunya pencemaran bau untuk tahun ini sahaja. Kali ini pencemaran berlaku berpunca daripada sumber (kilang) yang pernah dikenakan kompaun RM60,000 sebelum ini.

“Akibatnya, 1.2 juta pemegang akaun terjejas dan terpaksa menanggung. Adakah ini tidak memberi cukup pengajaran kepada kerajaan negeri untuk bertindak tegas dan bukan sekadar mengenakan kompaun semata-mata,” katanya kepada HarakahDaily, hari ini.

Semalam, dilaporkan sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Selangor berikutan kegagalan melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai.

Mengulas lanjut, Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang berkata loji rawatan sisa kilang seharusnya dikuat kuasakan dan tidak lagi aliran secara terus ke sungai.

Dalam masa yang sama, katanya semua kilang atau premis industri haram sepanjang pesisir sungai perlu ditutup dan dirobohkan, namun yang berlesen dipindahkan ke tempat baharu.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, apa lagi yang rakyat harapkan kepada pemegang taruh atau kerajaan negeri.

“Kalau rumah yang didirikan di atas rezab sungai boleh dirobohkan tanpa pertimbangan atas alasan projek tebatan banjir, kenapa tindakan yang sama tidak boleh dilakukan kepada pihak yang memangsakan jutaan pengguna air di Selangor atas kesalahan yang sama dan berulang,” jelas Ahmad Yunus lagi.- HARAKAHDAILY 4/9/2020

- Advertisement -