Kerajaan negeri Selangor abai suara penduduk

19 buah rumah Desa Subang Perantau dirobohkan
- Advertisement -

SHAH ALAM: Penduduk Desa Subang Perantau 2 berputih mata melihat kediaman yang didirikan mereka setelah berpuluh tahun menetap di situ dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini.

Sebanyak 19 buah rumah dirobohkan di atas 16 tanah lot yang berlokasi bersebelahan Sungai Pelempas, Shah Alam atas alasan penduduk telah membina kediaman di kawasan rizab Sungai Pelempas.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pesatuan Penduduk Desa Subang Perantau, Masri Mustapha, kediaman di atas 16 lot yang dimusnahkan itu merupakan saki baki daripada 105 lot rumah yang membuat permohonan Geran Kediaman Kekal.

- Advertisement -

Katanya, 89 lot kediaman yang lain telah diluluskan permohonan untuk mendapatkan Geran Kediaman Kekal, manakala selebihnya tidak diberi jawapan oleh PBT sama ada permohonan tersebut tidak berjaya atau sebaliknya.

Ujar Masri tindakan itu mencetuskan tanda tanya kepada penduduk atas faktor apa kediaman mereka dirobohkan oleh PBT.

“Permohonan tanah-tanah kami adalah secara berkumpulan untuk 105 lot tanah Desa Subang Perantau pada tahun 1990. Kesemua lot tanah tersebut telah diluluskan Geran Kediaman Kekal kecuali 16 lot tanah kami ini.

“Sehingga kini, tiada sebarang pemberitahuan telah disampaikan kepada kami mengenai statusnya,” ujar Masri dalam satu sidang media di Pusat Sumber dan Komuniti, Desa Subang Perantau 2, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Masri, kerajaan Negeri Selangor baru sahaja mewartakan Sungai Pelempas pada Februari 2018, sedangkan penduduk telah membina rumah-rumah di situ melebihi 10 tahun sebelumnya.

Tegas Masri, PBT sepatutnya mengambil kira kos pampasan untuk kediaman penduduk yang terjejas ketika berhasrat mahu mewartakan Sungai Pelempas.

Kedaiaman di Desa Subang Perantau dirobohkan

Malah, menurut taklimat awal Jabatan Pengairan dan Saliran pada 2016, projek pelebaran Sungai Pelempas ini dimaklumkan, tidak melibatkan rumah-rumah penduduk sekitar.

Sebaliknya berlaku pada 22 Februari 2018 apabila penduduk kemudiannya mendapat maklumat bahawa rumah mereka juga akan turut dirobohkan bagi tujuan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pelempas.

Sungai Pelempas

Lebih parah, kos pampasan yang diterima penduduk juga tidak mencapai jumlah yang dipersetujui. Pampasan yang ditawarkan antara RM5,000 hingga RM15,000 dan ia jelas tidak memadai dengan kos pembinaan kediaman mereka yang bernilai antara RM100,000 hingga RM300,000.

Berita lanjut di Harakah edisi akan datang – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -