KASA kaji perkasa akta pencemaran bau

- Advertisement -

KOTA BHARU:  Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang meneliti untuk perkasakan akta dan undang-undang sedia ada berkaitan pencemaran bau untuk tindakan lebih konkrit, kata Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Beliau berkata pihak kementerian menerima banyak aduan daripada orang ramai berkaitan pencemaran bau terutama oleh ladang ternakan.

“Kita sekarang sedang teliti tentang tahap pencemaran bau (untuk diambil tindakan) …jadi kita perlu perkasa akta (sedia ada) untuk ukur (tahap) bau (bagi diambil tindakan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Penyampaian Sumbangan Khas dan Kit COVID-19 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kelab Guru Sekolah-Sekolah dalam kawasan Parlimen Kubang Kerian di sini, hari ini.   

Pada majlis berkenaan, sebanyak 18,000 keping pelitup muka diagihkan kepada 73 sekolah awam dan swasta, selain sumbangan RM2,000 kepada setiap PIBG dan RM500 kepada setiap Kelab Guru.
 
Tuan Ibrahim berkata KASA juga sedang menyemak akta dan undang-undang sedia ada untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak kilang yang melakukan pencemaran.

“Kompaun asal dalam RM2,000 terlalu rendah (bagi kilang lakukan pencemaran). Kementerian sedang semak akta dan undang-undang yang ada untuk kita tingkatkan lagi hukumannya.

“Cuma dalam tempoh yang ada kita kuatkuasakan apa yang boleh termasuklah gantung operasi kilang-kilang (yang lakukan pencemaran),” katanya.

Katanya kerajaan juga giat menghantar balik kontena plastik kitar semula yang tidak menepati syarat ke negara asal kerana tidak mahu Malaysia dijadikan ‘tong sampah dunia’. – BERNAMA

- Advertisement -