Dipelawa sertai PN demi kestabilan kerajaan

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan penyertaan parti lain untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu demi memastikan kerajaan pada masa kini lebih stabil.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang secara rasmi mengumumkan menyertai parti Bersatu semalam, berkata kestabilan kerajaan amat penting untuk memastikan keutuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata setakat ini terdapat lima parti yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai gabungan PN termasuk BERSATU dan PAS, namun tidak menyatakan tiga lagi parti lain.

“Ada lima parti semuanya dan ada parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) gabungan BN bukannya BN secara keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media PRK DUN N.58 Slim di pekan Slim River di sini, hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah. 
 
Pada 19 Ogos lepas, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan parti itu akan menyertai PN bersama BERSATU.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata Kerajaan PN berjaya menyelesaikan banyak krisis sama ada berkaitan ekonomi, politik serta kesihatan dan mahu rakyat menerima hakikat bahawa pentadbiran Muhyiddin adalah yang terbaik di dunia kerana berjaya menguruskan pelbagai isu.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis Sembang Santai Sahabat Berjaya Amanah Ikhtiar Malaysia di sini, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak meminta pengundi di DUN Slim supaya tidak membuang masa dengan mengundi calon Bebas pada hari pengundian, 29 Ogos ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu bekas guru, S. Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili PEJUANG yang dalam proses pendaftaran. – BERNAMA

- Advertisement -