Parti-parti Melayu Islam mesti disatukan

1442H menjadi Amul Jamaah (Tahun Perpaduan)

- Advertisement -

KETIKA wafatnya Saidina Ali pada tahun 40H, keadaan umat Islam telah berpecah dengan teruk sekali. Telah muncul kelompok Syiah dan Khawarij di kalangan pengikut Saidina Ali. Walhal sebelumnya, Ummul Mukminin, Aisyah R.A bersama beberapa Sahabat seperti Talhah bin Abi Talhah dan Zubair al-Awwam telah memerangi khalifah dalam Perang Jamal pada tahun 36H. Di Damsyik, lebih awal lagi, Muawiyah bin Abu Sufyan telah membantah khalifah dalam isu qisas terhadap pembunuh Saidina Othman. Punca utama seluruh pergolakan dan perpecahan ini ialah perbezaan pendapat politik. Mereka tidak khilaf dalam soal akidah, bahkan bersepakat mengenai kekhalifahan Saidina Ali. Kemuncak pergolakan ini ialah berlakunya Perang Siffin dan Majlis Tahkim yang membawa kepada kemunculan Syiah dan Khawarij serta pembunuhan Saidina Ali. 

Kecamuk politik itu adalah berpunca dari peranan Abdullah bin Saba’, iaitu watak Yahudi yang membawa fitnah dan berusaha keras memecah-belahkan umat Islam. Tujuannya hanya satu – supaya umat Islam lemah dan agama tauhid ini hancur. Abdullah bin Saba’ berusaha membuat gerakan untuk mengelirukan umat Islam, terutama yang baru masuk Islam yang bersifat heterogen. Atas nama amar makruf nahi munkar, dia mengelirukan umat Islam sehingga akhirnya berlaku pembunuhan Saidina Othman, berlakunya pemberontakan para Gabenor, berlaku perang antara kaum Muslimin dan terbukanya pelbagai fitnah.

Khalifah al-Hassan bin Ali bin Abi Talib yang dibai’ah menggantikan ayahnya memerintah dalam satu tempoh yang relatifnya singkat. Beliau tidak memikirkan mengenai kekuasaan politik dirinya, tetapi melihat perpecahan umat sebagai penyakit yang mesti diubati segera, sebelum ia membarah dan menghancurkan agama Allah. Al-Hassan memilih untuk tidak memerangi Muawiyah, musuh politik ayahnya walaupun beliau tahu kekhalifahan adalah haknya. Beliau memilih bukan sahaja berdamai dengan Muawiyah, tetapi menyerahkan kekhalifahan kepada pemimpin Bani Umayyah itu. Bagi al-Hassan perpaduan umat Islam dan pengukuhan Negara Islam adalah lebih utama daripada politik peribadi.

- Advertisement -

Atas tindakan beliau yang mementingkan perpaduan umat Islam bagi menghadapi robekan musuh, telah menyebabkan tahun 41H dikenali sebagai Amul-Jamaah (Tahun Perpaduan). Lalu bangkitlah semula umat Islam membina tamadunnya yang menguasai dunia bermula dengan Daulah Amawiyah (41-132H), Daulah Abbasiyah (132-923H) dan Daulah Othamiyah (923-1342H). Benarlah pesan Nabi S.A.W:

 “Sesungguhnya anakku ini (al-Hassan) adalah ‘Sayyid.’ Allah mendamaikan dua kelompok besar dari kaum Muslimin melalui tangannya.”

(HR Bukhari, no. 710)

Realiti politik Malaysia

(1) Pergerakan awal politik Melayu.

Semenjak kemunculan ideologi Barat di negara ini, telah muncul pergerakan politik pertama yang berteraskan Islam apabila Raja Ali Kelana dan Syed Sheikh al-Hadi menubuhkan Jam’iyat ar-Rusyidiyah di Pulau Penyengat pada 1880M. Setelah itu, mulai tumbuh pelbagai pergerakan politik di Nusantara. Di Tanah Melayu secara khusus, muncul tiga kelompok besar menjelang Perang Dunia Kedua iaitu Nasionalis Kanan (yang pro British), Nasionalis Kiri (pro Sosialis) dan Islamis. Secara nyata, pada peringkat terawal selepas perang itu, Nasionalis Kanan diwakili oleh Umno, Nasionalis Kiri diwakili oleh PKMM dan Islamis diwakili oleh Hizbul Muslimin.

Ketika Umno mendapat kedudukan yang selesa pada zaman British, PKMM dan Hizbul Muslimin dilumpuhkan oleh Ordinan Darurat 1948. Mereka kemudiannya bermetamorfosis, masing-masing membentuk Partai Rakyat dan PAS. Maka tiga parti inilah yang menjadi parti teras orang Melayu sehingga 1970. Namun begitu, Parti Rakyat yang diserapi oleh Komunis saintifik pada 1970 telah bertukar menjadi PSRM, sebelum bernama PRM pada 1989, kemudian terserpih lagi pada 1998 membentuk PSM, dan akhirnya bercantum dengan PKN untuk membentuk PKR pada 2004.

Umno juga pernah berpecah pada 1951, yang membawa kepada penubuhan PAS, IMP dan Parti Kebangsaan Perak (NAP). Nasib Umno agak baik kerana mereka menjadi parti pemerintah, lalu ia lebih kukuh. Pun begitu pada 1963, penyokong Umno pecah membentuk NCP pimpinan Aziz Ishak yang menyertai kelompok kiri di dalam Front Sosialis. Pada 1972, ada gerakan memecahkan Umno oleh Tunku Abdul Rahman Putra dan Syed Jaafar Albar, tetapi berjaya ditangani oleh Tun Abdul Razak. Sejak itu, Umno bertahan sehingga 1987.

PAS yang mewakili kelompok Islam pula mula mengalami perpecahan politik pada 1970-an ketika berada dalam kerajaan. Yang pertama menyerpih ialah Hashim Gera yang menubuhkan KITA pada 1974. Kemudian, diikuti oleh Barisan Bebas Bersatu (BBB) pada 1974 di bawah Fakharuddin Abdullah dan IMAM pimpinan Amaluddin Darus. Pergolakan itu akhirnya membawa kepada tertubuhnya BERJASA pada 1978 oleh Datuk Mohamad Nasir.

(2) Politik Melayu Abad Ke-15H.

Tahun 1980 adalah bersamaan tahun 1400H. Permulaan bagi abad ke-15 Hijriyah. Ia menjadi tahun kebangkitan dan kesedaran Islam. Tetapi, dalam dekad ini juga turut berlaku perpecahan, walaupun pada hakikatnya gerakan politik orang Melayu hanya tinggal dua – Nasionalis (Umno) dan Islamis (PAS). Zaman kiri telah berakhir dan pergerakan mereka tiada dukungan lagi dari orang Melayu. Tetapi kelompok Nasionalis dan Islamis telah berpecah dengan agak parah, sehingga seluruh persaingan politik dekad 1990-an hingga 2020 diwarnai oleh persaingan parti-parti serpihan ini. 

Kelompok Islam menghadapi kemunculan parti baru, Parti Negara Islam Malaysia (PNIM) pada 1982 yang didukung oleh kader Jamaat Islami Pakistan melalui tarbiyah di UK. Selepas tewas dalam PRU 1982, parti ini lenyap dan sebahagian pemimpinnya menyertai PAS. 

PAS kemudiannya berpecah lagi pada akhir 1982, dan Datuk Mohd Asri Haji Muda telah menubuhkan HAMIM pada 1983. Apabila Datuk Mohd Asri memilih menyertai Umno pada 1988, HAMIM gagal dibubarkan lalu membentuk dua parti iaitu HAMIM pimpinan Sudin Wahab dan IKATAN pimpinan Abdul Wahab Yunus. PAS juga berpecah pada 1988 apabila wujudnya Kumpulan Islah (PAS 51) yang membantah kerjasama PAS dengan serpihan Umno. Selepas menguasai Kelantan, pada 1994, PAS berpecah lagi dengan penubuhan AKIM oleh Musa Salleh.

Di pihak Umno, pergolakan Mahathir-Musa dan Mahathir-Ku Li telah menyebabkan parti itu diharamkan pada 1988. Umno berpecah dua. Umno asal (Team B pimpinan Ku Li) dikenali sebagai S46, sedang satu pihak lagi dikenali sebagai Umno Baru (Team A pimpinan Mahathir). S46 (kemudiannya PMS46) telah membentuk kerjasama dengan serpihan PAS, iaitu BERJASA dan HAMIM pada 1988 lalu membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang turut disertai oleh parti India Muslim, KIMMA. APU kemudiannya membuat persefahaman dengan PAS sehingga dapat menguasai Kelantan pada 1990. Pada 1996, hubungan PAS-APU telah pecah. PMS46 dibubarkan dan Ku Li menyertai semula Umno.

(3) Reformasi Politik Pasca 1998.

Keadaan politik orang Melayu masih berpecah dua. Kelompok Nasionalis diwakili oleh Umno dan PMS46 (sehingga 1996). Kelompok Islamis diwakili oleh PAS, BERJASA, HAMIM, IKATAN, Kumpulan Islah dan AKIM. Tetapi yang dominan ialah Umno dan PAS. PMS46 telah terbubar, dan ahli-ahlinya menyertai Umno dan PAS. HAMIM tidak lagi berpengaruh setelah tokoh-tokohnya di Kelantan dan Kedah tidak aktif lagi. BERJASA telah dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan kerana masalah pengurusan dalaman mereka. IKATAN yang berpusat di Dungun, Terengganu tidak mempunyai penyokong. Sedangkan AKIM pula hanya wujud di Pasir Puteh sahaja. Kumpulan Islah yang muncul pada 1988 telah lenyap apabila sebahagian pendukungnya menyertai Umno.

Ketika PAS mulai menjadi parti tunggal mewakili Islamis, Umno mengalami krisis baru pada 1998. Penyokong Anwar Ibrahim telah menubuhkan Gerakan Keadilan Sosial (ADIL) pada 1998, sebelum mereka ‘membeli’ parti IKATAN dan membentuk PKN pada 1999. PKN pada asasnya adalah parti pelbagai kaum yang dikuasai oleh penyokong Anwar Ibrahim. Selepas PRU 2004, PKN telah melakukan ‘merger’ dengan parti kiri, PRM lalu membentuk PKR. Umno yang menghadapi kelompok Liberal yang diwakili oleh Zaid Ibrahim mengalami perpecahan kecil pada 2009. Zaid Ibrahim kemudiannya ‘membeli’ AKIM lalu dinamakan KITA. Pada 2012, Umno berpecah lagi apabila Abdul Kadir Sheikh Fadzil telah menubuhkan parti IKATAN. Bagi menghadapi PAS dalam PRU 2014 pula, Umno dikatakan ‘menaja’ BERJASA yang dihidupkan semula oleh pimpinan ISMA, sebuah NGO Islam.

Menjelang PRU 2018, keadaan politik orang Melayu kembali berpecah. Pertama, PAS yang mengalami perpecahan dengan kelompok Demokrat Islam. Kelompok ini telah menubuhkan PAN pada 2015. Umno pula, yang berkrisis kerana isu 1MDB telah berpecah dan membentuk parti baru, BERSATU pada 2016. Parti BERJASA juga berpecah dua, iaitu kelompok ISMA pimpinan Abdul Kadir Mamat dan kelompok koperasi pimpinan Mustafa Kamal Maulut, setelah kem Mustafa Kamal tidak bersetuju BERJASA diserahkan kepada Tun Mahathir.

Dalam PRU 2018 itu, parti-parti Melayu sudah menjadi seperti berikut:

(I) Kelompok Nasionalis: Umno, BERSATU dan IKATAN.

(II) Kelompok Liberal: PKR dan PAN.

(III) Kelompok Islamis: PAS dan BERJASA.

Di pihak Islamis, PAS telah mengambil langkah mengukuhkan parti-parti orang Melayu di atas dasar Islam melalui penubuhan Gagasan Sejahtera (GS). GS disertai oleh PAS, IKATAN dan BERJASA. Manakala kelompok Liberal pula menyatukan parti-parti yang anti Umno di bawah payung PH iaitu PKR, PAN dan BERSATU, selain parti Cauvinis DAP. Sedangkan Umno sebagai parti Nasionalis, kekal memimpin BN yang dianggotai oleh 14 buah parti pelbagai kaum.

Akibat perpecahan parti-parti orang Melayu Islam ini, DAP telah mengambil kesempatan dengan menyatukan orang-orang bukan-Melayu di atas slogan Malaysian Malaysia dan memperalatkan kelompok Liberal (PKR dan PAN), selain terus membakar api perpecahan parti-parti Melayu terutama menerusi isu UG. Akhirnya, undi orang Melayu telah berpecah tiga (Islamis, Liberal dan Nasionalis), sedang undi orang bukan-Melayu bersatu di bawah DAP dan memberikan kemenangan PH ke atas BN. Orang Melayu hampir kehilangan kuasa politik mereka akibat perpecahan ini.

(4) Pasca PRU 2018.

Kekalahan Umno-BN dalam PRU 2018 telah memberikan pelajaran yang besar mengenai kepentingan perpaduan umat Islam. PAS telah mengambil langkah segera mendekati Umno yang masih terpinga-pinga selepas kehilangan kuasa. Berkat usaha itu, pada 14 September 2019, sebuah permuafakatan umat telah berjaya dibentuk di atas nama Muafakat Nasional (MN). Kekuatan perpaduan MN telah berjaya dimanfaatkan ketika PH berkrisis kerana isu penggiliran jawatan Perdana Menteri (PM). Dalam bulan Februari 2020, BERSATU telah keluar dari PH dan Tun Mahathir meletak jawatan sebagai PM. MN dengan kerjasama BERSATU dan GPS telah membentuk kerajaan baru yang dikuasai Bumiputera.

Kini usaha untuk memecahkan orang Melayu dibuat oleh Tun Mahathir pula dengan menubuhkan PEJUANG. PEJUANG disokong oleh kelompok Liberal PAN, selain DAP. Regu mereka, PKR belum menunjukkan sokongan yang jelas kepada PEJUANG. MN pula terus mengorak langkah untuk menyatukan orang Melayu dengan menjemput BERSATU menyertai muafakat ini.

Persoalan sekarang, ke mana MN akan dibawa dalam proses penyatuan politik orang Melayu ini? Adakah ia semata-mata perpaduan longgar untuk tujuan dan kepentingan politik parti masing-masing atau membentuk perpaduan ummah yang sebenar bagi mengembalikan kekuasaan politik umat Melayu Islam? MN yang dimotori oleh PAS dan Umno mesti melihat satu wawasan yang jauh. Bukan sekadar untuk memenangi PRU15, tetapi untuk meletakkan Islam di tempat sewajarnya.

Untuk langkah ini, MN mestilah:

(1) Mengukuhkan kerjasama PAS-Umno dalam semua aspek – politik, ekonomi, sosial dan dakwah.

(2) Membawa masuk BERSATU dengan segera bagi membina keyakinan akar umbi parti itu sebelum mereka diperdaya oleh PEJUANG.

(3) Jangan mengabaikan parti-parti kecil di dalam GS – IKATAN dan BERJASA. Mereka mesti dibawa masuk bersama dalam MN dengan segera.

(4) Piagam MN pada tahun 1442H mestilah berteraskan objektif perpaduan ummah, berdasarkan Islam dan menuju ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang melaksanakan syariat Allah dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara. 

PAS mesti memainkan seperti Saidina al-Hassan bin Ali dalam membentuk perpaduan ummah!

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 17/8/2020

Islam adalah perpaduan, kerana pada hakikatnya semua orang beriman adalah bersaudara.
PAS terus mempelopori usaha menyatupadukan unat Melayu Islam di atas dasar agama.
Usaha pertama PAS-Umno pada 1973 bukan sahaja dapat menyatukan umat Islam, tetapi juga dapat mengekalkan kekuasaan politik orang Melayu.
Ucapan Dasar Datuk Mohd Asri Haji Muda pada 1975 secara jelas menekankan objektif PAS dalam membentuk perpaduan ummah.
Walaupun PAS sering menjadi mangsa dalam perhubungan dengan Umno, PAS tidak serik untuk mengajak Umno bermuzakarah supaya kedua-dua parti berada di atas landasan Islam. Muzakarah PAS-Umno 1986 ini adalah lanjutan daripada Debat PAS-Umno 1984 yang dibatalkan.
- Advertisement -