Mengapa menolak Tuhan?

tuhan
- Advertisement -

SEMOGA rekod bersih PAS terus dipelihara Allah dari terpalit kes rasuah dan rakyat boleh menaruh harapan dengan kepimpinan yang dalam fikirannya sentiasa ingatkan Tuhan.

Fakta yang ada harga sawit sejak diubah slogan kepada ‘Sawit Anugerah Tuhan‘ meningkat dengan jelas. Kerja yang bersungguh disertai pergantungan kepada Tuhan sepatutnya dipuji. 

Rukun Negara meletakkan perkara nombor 1, kepercayaan kepada tuhan. Tetapi DAP menyerang dan memperlekehkan bertubi-tubi, marah sekali. 

- Advertisement -

“Inilah PAS, sikit-sikit Tuhan, sikit-sikit Tuhan,” ini yang disebut Teresa Kok dalam Parlimen kelmarin.

Bagi saya dan rakyat Malaysia yang sepatutnya mempunyai kepercayaan kepada tuhan ini adalah perkara yang baik.

Orang Islam diajar untuk setiap kali memulakan sesuatu yang baik supaya membaca Bismillah yang bermaksud ‘Dengan nama Allah’. Komunis lainlah. Mereka tak percayakan Tuhan. 

Sebab itu rakyat sangat berang bila ada  pemimpin DAP terlibat menerbit dan mempertahankan komik yang membawa propaganda Komunis. Mereka mahu menyebarkan kepada anak-anak sekolah. Dalam pelbagai bahasa! Rakyat tak lupa.

Rakyat mahu negara ini menjadi baik. Rakyat tak mahu kita bercakap saja konon lawan rasuah, tapi rupa-rupanya ‘kita lah kepala haliannya’. 

Konon mahu negara selamat dari pengganas, tapi menyokong kumpulan pengganas Tamil Elam LTTE. Sebaliknya pendakwah Zakir Naik yang mempromosikan diskusi ilmiah antara agama pula mereka cuba jadikan kambing hitam. Konon Dr Zakir Naik ini pengganas.

Bukan karakter seperti Zakir Naik yang membakar sentimen sehingga berlaku keganasan dan pembunuhan Allahyarham Adib. Yang membakar sentimen, menghasut adalah kelompok yang semakin jelas dikenali rakyat.

Rakyat sepatutnya tidak lagi memberi ruang kepada mereka yang berlagak konon bersih ini. 

Tidak ada maknanya! ‘Tipu belaka’. Kes rasuah yang sedang berjalan, dengan guna kuasa dilepaskan. Lepas itu diangkat jadi Menteri Kewangan yang jaga duit negara! Fakta ada bagaimana ekonomi merudum oleh tindakan-tindakan beliau yang tidak bertanggungjawab. 

Teresa Kok ketika perbahasan Titah Di Raja beliau menghabiskan hampir separuh masanya mempertikaikan usaha kerajaan mengawal arak. 

Rasuah, Komunis, LGBT,  pengganas, arak, judi, maksiat, kongsi gelap. Semua ini jika tidak dikawal akan merosakkan negara. Tapi rakyat nilailah. Siapa yang asyik memberi muka dan jaga kepentingan mereka.

Saya mempunyai keyakinan jika rakyat negara ini mempunyai akar agama yang kuat, mereka akan jadi manusia yang gigih bekerja, berdisiplin, baik akal budinya yang tentunya menyumbang kepada produktiviti, kualiti negara.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 7/8/2020

- Advertisement -