Pekerja asing dikurangkan, terhad tiga sektor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menetapkan hanya tiga sektor pekerjaan sahaja yang boleh menggunakan khidmat pekerja asing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Solahuddin Hashim berkata, tiga sektor tersebut adalah sektor pembinaan, pertanian dan perladangan.

- Advertisement -

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengurangkan (perkhidmatan) pekerja asing yang mana di Malaysia melibatkan lebih 2 juta orang (pekerja asing) yang berdaftar dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan dengan KSM sebanyak 2.1 juta pekerja asing.

“Kementerian dan kerajaan telah membuat keputusan untuk menetapkan tiga sektor iaitu pembinaan, pertanian dan perladangan yang boleh guna pekerja asing selepas ini.

“Lain-lain sektor akan diisi pekerja tempatan. Inilah yang kita telah membuat satu garis panduan sebagai dasar untuk mengurangkan pekerja asing,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Jugah Muyang (BEBAS-Lubok Antu).

Dalam soalan tambahan, Jugah bertanya berhubung langkah yang diambil kerajaan dalam mengurangkan jumlah pekerja asing untuk memberi ruang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang terjejas berikutan Covid-19.

“Apakah dasar atau rancangan kerajaan untuk menawarkan gaji yang lebih baik kepada rakyat Malaysia?” Soalnya.

Mengulas lanjut, Awang berkata pihak KSM telah membuat keputusan untuk menetapkan gaji lantai RM1,200.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 56 pihak Majlis Bandaran yang melaksanakan gaji minimun RM1,200, selebihnya masih RM1,100.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya akan membuat menyelaraskan pelaksanaan gaji minimum ini di semua peringkat.

“Di peringkat kabinet telah diluluskan. Kita akan meminda akta ini dan bawa ke Parlimen dalam musim ini supaya pelaksanaan gaji minimum kepada RM1,200.- HARAKAHDAILY 29/7/2020

- Advertisement -