Kelantan sedia hadapi saingan STL 2020

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan bersedia menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 yang akan diadakan pada 18 September hingga 22 November 2020 di Stadium Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, kejohanan itu bakal menyaksikan lebih 50 peratus pemainnya anak tempatan.

- Advertisement -

“Bagi pemilihan pemain tiada pemain import dibenarkan kerana wabak Covid-19, maka senarai yang didaftarkan kali ini sepenuhnya diisi pemain tempatan.

“Kita melalui Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) meletakan syarat jumlah pemain anak Kelantan mesti lebih 50 peratus daripada semua pemain dalam setiap pasukan,” katanya pada sidang media pengumuman senarai pemain Kelantan Warriors di Mabna MBI, Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Zuraidin Abdullah, Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin dan Pengurus Kelantan Warriors Ahmad Syazwan Muhammad Hassan.

Dua pemain baharu diumumkan mewakili Kelantan Warriors ke kejohanan terbabit iaitu Yus Hanif Rosli dari Perak Bison dan Muhammad Adam Aiman Zainol dari Penang Black Panters.

Selain itu, pasukan Kelantan Warrios turut dibarisi muka lama termasuk Wan Naim Izani Wan Mohd Nor, Aidil Aiman Azwawi, Mohamad Hafizi Maarof dan Muhammad Eqbal Shamsudin.

Semua pemain itu turut terlibat pada kejohanan STL Youth 2020 khusus bagi pemain bawah 21 tahun yang dijangka bermula 11 September hingga 11 Oktober. – HARAKAHDAILY 29/7/2020

- Advertisement -