Masalah air di Kota Bharu selesai 2023

- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjangka masalah bekalan air yang berlaku di jajahan Kota Bharu selesai sepenuhnya pada 2023.

- Advertisement -

Ketua Jabatan Pengeluaran dan Fasilitasi, Wan Zamri Wan Hamat berkata, AKSB akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan secara berperingkat-peringkat.

Menurut beliau, pengurusan AKSB ditambah baik selepas kerajaan negeri dan pusat melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air.

“Kita jangka boleh diselesaikan secara berperingkat. Kita sudah ada perancangan melalui pembiayaan agensi terlibat dan kerajaan negeri.

“Dalam tempoh empat tahun akan datang pada 2023 mengikut perancangan kita masalah air di jajahan Kota Bharu akan selesai,” katanya pada sidang media di Wisma Air hari ini.

Baru-baru ini Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menjangkakan masalah air di Kelantan dapat diselesaikan pada 2030 melalui peruntukan RM7 bilion pada Rancangan Malaysia Ke-12.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Loji Rawatan Air Kampung Chap, Bachok akan menghentikan operasinya selama 10 hari bermula 13 Julai ini bagi membaiki sistem chemiless yang mengalami kerosakan.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Latihan AKSB, Mat Noor Awang berkata, ekoran itu menyebabkan sebanyak 24,100 isi rumah dengan 6,025 akaun pengguna AKSB akan mengalami gangguan kualiti dan kualiti bekalan air terawat.

“Bagi membantu pengguna kami menyediakan enam lori tangki air yang akan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 12 malam dalam tempoh itu.

“Kami juga menyediakan 11 tangki statik yang berkapasiti 500 hingga 2,000 gelen bagi menyediakan bekalan air kepada pengguna di kawasan terlibat,” katanya.- HARAKAHDAILY 9/7/2020

- Advertisement -