Indeks jenayah turun: Tahniah polis, warga Labuan

- Advertisement -

PENURUNAN kadar indeks jenayah diumumkan Ketua Polis Labuan, Supt Muhammad Farid Ahmad di pulau ini merupakan satu kejayaan hasil dedikasi dan komitmen pasukan Polis Labuan.

- Advertisement -

Secara umum, ia juga hasil kejayaan bersama buat masyarakat warga Labuan yang telah memberi kerjasama dengan patuh kepada arahan dan undang-undang negara.

Kadar penurunan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 28.9 peratus iaitu kepada 91 kes berbanding 128 kes untuk tempoh sama tahun lepas ini turut diakui Supt Muhammad Farid hasil dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antaranya kes pecah rumah berkurangan sebanyak 11.76 peratus daripada 34 kes bagi tempoh Januari hingga Julai tahun lepas kepada 30 kes tahun ini.

Ini bukan sahaja menyerlahkan bahawa arahan kerajaan untuk melaksanakan PKP walaupun berkurung tetapi begitu positif dalam banyak perkara, terutamanya terhadap kesihatan, nyawa dan juga keamanan serta kesejahteraan hidup rakyat.

Pun begitu, dengan berakhirnya PKP dan PKP Pemulihan tidak lama lagi, kita warga Labuan tentunya tidak mahu jenayah kembali dalam masyarakat kita. Kini, solidariti itu perlu dibina bersama pasukan penguat kuasa dari PDRM dan lain-lainnya. Jenayah membawa padah, ia mesti dikekang bersama.

Antara sumbangan dapat kita jayakan, adalah dengan terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak Polis terutama menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah agar ketenteraman dan keselamatan awam terus dipelihara.

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya.”
(Al-Maidah: 2)

Tahniah Polis Labuan, tahniah warga Labuan.

HAJI HAMIR HAJI ZAHARI
Yang DiPertua
PAS Kawasan Labuan – HARAKAHDAILY 9/7/2020

- Advertisement -