ALHAMDULILLAH! Khabar gembira dari Laut China Selatan buat seluruh rakyat Malaysia. Meski pun diganggu hebat oleh kapal-kapal China, kita semakin hampir untuk mencapai kemenangan selepas hampir lima bulan Petronas menjalankan kerja eksplorasi di sana.
Sejak Disember 2019 lalu, Petronas melalui kapal West Capella telah menjalankan kerja eksplorasi di dua lapangan minyak dan gas iaitu Arapaima-1 di blok ND1 dan Lala-1 di blok ND2. Kronologi ini dicatat rapi oleh portal Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI).
Kemenangan pertama kita terhasil pada Mac lalu selepas kita berjaya menyelesaikan kerja eksplorasi di Arapaima-1. Perlu diingat, ketika itu China mengirim kapal raksasa (Monster) sebesar 4,000 tan iaitu Zhaoduan-class 5305 dan juga kapal pengawal pantai (CCG) Haijing 5202 dan 5203 untuk menghancurkan usaha kita.
Tentera kita telah bertindak balas dengan luar biasa apabila mengerahkan KD Jebat sebesar 2,270-tan yang berjaya menghimpit kapal China ke sudut sukar pada Januari 2020. KD Jebat telah dibantu oleh KD Kelantan serta kapal 45 meter milik Maritim Malaysia iaitu KM Bagan Datuk.
Akibat kegagalan mereka untuk memusnahkan usaha eksplorasi kita di blok Arapaima-1, China telah menjadi berang dan menghantar kapal pemusnah Type 052B Wuhan (169) serta meningkatkan gangguan ke atas kapal-kapal kita di blok Lala-1 pula melalui Haiyang Dizhi 8 dan juga kapal pengawal pantai CCG 1105 dan 4203.
Tidak hairanlah apabila dengan segera, Amerika Syarikat telah mengerahkan angkatan armada mereka iaitu Kapal Penyerang Amfibia (LHA 6), USS America, kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52) dan ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52 ke wilayah kita – malah Kapal Frigat Australia, Kelas Anzac, HMAS Parramatta turut serta.
Semalam, data menunjukkan kapal TLDM KA Bunga Mas Lima terus memberi sokongan melindungi kapal West Capella yang dikontrak oleh Petronas, meski pun terus diasak hebat oleh gangguan kapal China.
Kita kini semakin hampir dengan kemenangan. Sebaik sahaja eksplorasi Petronas di blok Lala-1 selesai seperti mana yang dijadualkan dalam bulan Mei 2020 ini juga, sejarah akan tercipta bahawa sesungguhnya kita telah berjaya mempertahankan kepentingan nasional kita di Laut China Selatan meski pun cuba diganggu dan dimusnahkan oleh kuasa besar!
Sama-sama kita doakan semoga Allah terus perkasakan dan peliharakan para perwira kita yang tidak gentar mempertahankan kedaulatan dan kepentingan nasional kita di Laut China Selatan ini: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dan juga Petronas.
Kalian wira negara, Semoga Allah peliharakan kalian semua!
ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda. – HARAKAHDAILY 4/5/2020
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.