PKP: UniMAP hasil 3,350 pensanitasi tangan

Penyelidik UniMAP bersama pensanitasi tangan yang berjaya dihasilkan menerusi projek Function of Science yang dikendalikan oleh Global Innovation through Science and Technology (GIST).
- Advertisement -

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghasilkan 3,350 pensanitasi tangan untuk kegunaan petugas barisan hadapan kategori B40 di Perlis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada projek Function of Science yang dikendalikan oleh Global Innovation Through Science and Technology (GIST) yang melibatkan kerjasama beberapa universiti untuk membantu meringankan bebanan petugas yang berkhidmat menangani pandemik Covid-19.

Kata beliau, menerusi program tersebut, kesemua universiti terlibat menerima tajaan bahan mentah daripada badan-badan korporat antaranya Lendlease, Yayasan MRCB, Tessolve Semiconductor, WWRC, Mayplas Packaging, Apical Scientific, MITR Mediservice dan Acme Chemicals.

- Advertisement -

“Di utara, UniMAP dan Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan antara universiti yang terpilih untuk menyediakan produk pensanitasi tangan tersebut,” katanya di sini.

Selain itu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurutnya keseluruhan kandungan pensanitasi tangan yang dihasilkan diselaraskan di semua universiti dan mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Dr Badlishah juga berkata, UniMAP berbesar hati untuk menyumbang tenaga kerja sukarela dan fasiliti dalam menghasilkan pensanitasi tangan tersebut.

Dan ia bertepatan dengan cogan kata UniMAP iaitu ‘Kejuruteraan dan Teknologi untuk Kemanusiaan.’

Menurutnya juga penyelidik menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menghasilkan pensanitasi tangan dan pada masa sama menerapkan elemen kemanusiaan melalui edaran bahan tersebut secara percuma, terutama dalam kalangan petugas barisan hadapan.

“Terima kasih juga buat kerajaan yang memberi kelonggaran kepada universiti untuk terus menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan Covid-19 ini. Biarpun bertugas para penyelidik UniMAP tetap mengutamakan penjarakan sosial,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 19/4/2020

- Advertisement -