PKP semula: Rakyat tentukan ‘pilihan’ sendiri

Lelaki pakai pelitup muka
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bergantung sepenuhnya di tangan rakyat, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, PKP berkemungkinan dilaksanakan semula sekiranya kes positif Covid-19 harian terus mencatatkan peningkatan sehingga tiga digit.

- Advertisement -

“Kita yang menentukan (sama ada PKP dilaksanakan semula atau tidak), kalau kita terus leka, melanggar SOP, dan tidak patuh kepada arahan, kemudian kes semakin meningkat, akhirnya perkara-perkara yang kita tidak mahu mungkin akan berlaku. PKP mungkin akan diperkenalkan.

“Tetapi kalau kita terus patuh, kita terus tinggalkan apa yang dilarang dan ikut apa yang disarankan kerajaan, saya percaya kes akan terus menurun. Malah, kita boleh menamatkan PKPP sekalipun, dan tidak perlu laksanakan semula PKP.

“Tepuk dada tanya selera, kuasa adalah di tangan rakyat bagi memastikan bukan PKP diperkenalkan, atau PKPP ditamatkan,” tegas beliau dalam satu Sidang Media Perintah Kawalan Pergrrakan Pemulihan (PKPP) di Parlimen, hari ini.

Justeru itu, Ahli Parlimen Bera itu menyarankan serta menggalakkan rakyat Malaysia agar mengamalkan kawalan kendiri bagi memastikan Malaysia terus kekal selamat.

Ismail Sabri dalam sidang media sama turut mengumumkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) awal yang ditetapkan kerajaan bagi membenarkan rakyat Malaysia menyambut perayaan Hari Raya Aidil Adha yang dijadualkan disambut Jumaat ini.

Antaranya ialah jumlah korban lembu mestilah tidak melebihi 10 ekor di lokasi sembelihan dan hanya 20 orang dibenarkan mengurus seekor haiwan sembelihan. – HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -