Amaran, tarik lesen jika ingkar – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi amaran mahu menarik lesen perniagaan terhadap pemilik pusat hiburan dan kelab malam yang ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang kini memasuki hari ke-39.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga ke hari ini kelab malam dan pusat hiburan masih dalam senarai aktiviti dilarang.

- Advertisement -

“Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kelab-kelab malam dan pusat hiburan yang beroperasi semasa PKPP.

“Ini termasuk tindakan menggantung lesen perniagaan,” kata Ismail Sabri dalam sidang media harian PKP, di bangunan Parlimen, hari ini.

Ulasnya, antara kesalahan ingkar SOP PKP termasuk aktiviti kelab malam dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Task Force Operasi Pematuhan melibatkan 2,707 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 12,222 anggota telah membuat 62,104 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

Sebanyak 3,806 pasar raya, 5,452 restoran serta 1,273 penjaja, 1,193 kilang, dan 1,973 pasar awam dan tani telah diperiksa. Turut diperiksa, 3,591 tempat ibadah serta 1,555 tempat riadah.

PDRM telah menahan 80 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah direman dan empat lagi dijamin manakala 56 individu dikenakan kompaun. – HARAKAHDAILY 21/7/2020

- Advertisement -