Covid-19: KUFC belum putuskan pemotongan gaji pemain

- Advertisement -

PASIR MAS: Pemain kelab bola sepak Kelantan United FC (KUFC) masih lagi menerima bayaran gaji seperti biasa setakat ini.

Presidennya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata pihaknya belum membuat sebarang keputusan setakat ini berhubung pemotongan gaji pemain berikutan krisis penularan pandemik Covid-19.

“Setakat ini kita masih bayar gaji pemain. Keputusan seterusnya akan dinilai secara keseluruhan dari segi kedudukan kewangan kelab serta keputusan yang dibuat FAM.

- Advertisement -

“Kita juga akan lihat keputusan daripada rakan-rakan kelab yang lain dalam liga. Semua itu akan menjadi pengiraan kepada kita untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang pemotongan gaji dibuat, namun sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersetuju supaya pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) mengadakan perbincangan terbuka bersama pemain mengenai gaji, kontrak dan kebajikan mereka sepanjang tempoh penangguhan liga bermula 16 Mac lalu.- HARAKAHDAILY 19/4/2020

- Advertisement -