Hutan simpan gelam UMK terbakar

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok dan Tok Bali sedang memadamkan kebakaran hutan pokok gelam Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
- Advertisement -

BACHOK: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok dan Tok Bali berjaya mengawal kebakaran daripada merebak di kawasan hutan pokok gelam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada awal pagi semalam.

Ketua Keselamatan UMK, Wan Salman berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tok Bali tiba di tempat kejadian pada jam 11.30 selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 pagi.

Katanya, jentera bomba dengan kekuatan lapan anggota berjaya mengawal kebakaran api dari merebak ke kawasan hutan di kampus UMK Bachok.

- Advertisement -

“Kejadian tersebut mula dikesan kira-kira jam 10.20 pagi oleh Ketua Syif Unit Rondaan selepas melihat kepulan asap di kawasan berhampiran ladang ternakan rusa UMK.

“Operasi memadam kebakaran kemudian turut disertai oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bachok dengan kekuatan 12 anggota. Operasi memadam dan mengawal kebakaran mengambil masa lebih kurang lima jam kemudian api berjaya dipadam pada jam 6.30 petang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya juga punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.

Insiden tersebut bagaimanapun tidak melibatkan mana-mana bangunan berhampiran UMK kerana api berjaya dikawal daripada merebak.

“Dalam operasi tersebut, pihak kami dimaklumkan terdapat beberapa halangan dalam memadamkan kebakaran kerana kejadian kebakaran berlaku di kawasan tengah hutan,” katanya.

Wan Salman juga memohon kerjasama penduduk kampung di kawasan UMK Bachok bersama-sama menjaga alam sekitar terutamanya kawasan hutan gelam tersebut.

UMK Bachok meliputi keluasan 776 ekar dan sebahagian besarnya adalah Hutan Simpan Gelam yang mana kewujudannya memberi keunikan kepada UMK kerana tiada di universiti awam lain. Kawasan yang terlibat dalam kebakaran berkenaan dianggar 8 ekar.

Menurut beliau juga kejadian kebakaran tersebut dianggap paling teruk dalam sejarah UMK Bachok yang sentiasa berhadapan dengan ancaman kebakaran akibat aktiviti pembakaran terbuka oleh pihak luar.- HARAKAHDAILY 19/4/2020

- Advertisement -