Sekatan jalan raya dikurangkan di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sekatan jalan raya (SJR) yang dikuatkuasakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan dikekalkan 10 berbanding 36 sebelum ini.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Hasanuddin Hassan berkata, pengurangan itu dibuat susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Persekutuan, pihaknya turut berbuat demikian di Kelantan.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya tumpuan sekatan jalan raya kini di sempadan antarabangsa lebih diberi keutamaan sebagai usaha mengekang jangkitan Covid-19.

“Sebanyak 10 SJR dikekalkan, kita turut menempatkan anggota di sempadan Kelantan-Terengganu, Kelantan-Perak, Kelantan-Kuala Lumpur dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Kota Darul Naim siang tadi.

Tambah Hasanuddin, walaupun SJR dikurangkan, namun pihaknya akan sentiasa bersama masyarakat bagi memberi kesedaran dan memastikan kepatuhan terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan dalam PKPB.

Kata beliau, pihaknya akan melakukan hebahan awam dari semasa ke semasa supaya orang ramai mematuhi PKP khususnya berkaitan penjarakan sosial, kerap basuh tangan atau seumpamanya.

“Walaupun mereka (masyarakat) sudah tahu, tetapi kadang-kadang terlupa apabila berada di tempat awam kerana terlalu leka,” ujarnya.

Beliau juga berkata, bermula esok satu kereta boleh dinaiki empat orang termasuk pemandu dari keluarga yang sama.- HARAKAHDAILY 5/5/2020

- Advertisement -