Polis siasat individu menipu untuk lepas ‘road block’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti individu bersama keluarga yang tular di media sosial kerana memberi tips untuk pulang ke Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Menteri Kanan (Pertahanan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya menjelaskan bahawa tindakan lanjut akan diambil terhadap individu terbabit kerana dipercayai telah menipu pihak polis untuk melepaskan diri ketika pemeriksaan polis sepanjang perjalanannya.

Beliau pada masa sama memberi amaran kepada mana-mana individu atau rakyat Malaysia yang berhasrat sama untuk melakukan tindakan itu.

“Saya nak beri ingatan kepada semua, jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mempengaruhi orang lain supaya mengikut tindak tanduk mereka untuk melakukan kesalahan.

“Tidak ada siapapun boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, daripada tindakan polis jika mereka melakukan kesalahan.

“Lebih-lebih lagi mereka sendiri telah pun mengakui bahawa mereka telahpun ingkar kepada arahan ataupun peraturan dibawah PKP ini.

“Jangan berbangga melakukan kesalahan dan menganggap diri kita sebagai hero apabila melakukan kesalahan kerana akhirnya tindakan akan dilakukan oleh pihak polis dan akan menyusahkan diri sendiri dan keluarga,” katanya ketika sidang media sebentar tadi.

Sebelum ini tular di media sosial, tangkap layar seorang lelaki bersama keluarga berjaya pulang ke Kuala Lumpur dengan memberi alasan mahu ke hospital bersama keluarga yang mempunyai dua orang anak kecil.

Untuk memastikan mereka semua berjaya melepasi pemeriksaan polis, beliau menggunakan alasan tiada orang mahu menjaga anaknya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa semalam PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menangkap 1,057 individu atas kesalahan mengingkari PKP dan 906 daripada jumlah itu telah di reman, serta 151 lagi mendapat jaminan pihak polis.

Ini katanya menjadikan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah 12,074 dan 622 kini telah dituduh di mahkamah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).- HARAKAHDAILY 17/4/2020

- Advertisement -