PAS hargai pengiktirafan Parti Saadet

- Advertisement -

PAS merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Parti Saadet Turki, Temel Karamollaoğlu yang membuat kenyataan penghargaan kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas pelantikan sebagai Duta Khas ke Timur Tengah mewakili Perdana Menteri Malaysia.  

- Advertisement -

Kenyataan tersebut merupakan satu pengiktirafan Parti Saadet Turki terhadap PAS yang saling bekerjasama sejak sekian lama.

Ia juga membuktikan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dipercayai oleh tokoh politik luar negara seperti Turki dan negara Timur Tengah seterusnya akan memainkan peranan penting dalam kalangan negara-negara Islam di rantau itu.

PAS sentiasa berpegang bahawa keamanan sejagat adalah isu utama yang harus diperjuangkan, selain jalinan kerjasama untuk meningkatkan keupayaan ekonomi dan kestabilan politik terutama di negara-negara yang melibatkan umat Islam. 

Di Malaysia, PAS mengambil pendekatan damai dan matang dalam politik sehingga berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu serta turut bersama dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

PAS sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Parti Saadet Turki dan berharap hubungan erat akan terus kekal agar dapat bekerjasama dalam mencapai matlamat keredhaan Allah S.W.T.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
17 April 2020 | 23 Syaaban 1441 – HARAKAHDAILY 17/4/2020

- Advertisement -