PKP: Jumlah tangkapan meningkat 51 peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 554 individu ditangkap oleh pihak polis semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui sekatan jalan raya dan rondaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah tersebut mengambarkan peningkatan sebanyak 51 peratus berbanding sehari sebelumnya hanya 368 tangkapan sahaja.

“Sebelum ini saya berasa bangga kerana setiap hari peratusan tangkapan menurun empat hari berturut-turut, tiba-tiba meningkat kepada 51 peratus.

“Saya dimaklumkan oleh pihak PDRM bahawa peningkatan tersebut berlaku kerana mungkin ramai yang ambil kesempatan untuk keluar pada hari minggu kerana semalam hari Ahad,” katanya pada sidang media hari ini.

- Advertisement -

Berikutan itu, beliau berharap supaya orang ramai tidak keluar rumah walaupun pada hari minggu.

“Saya amat berharap cuti setiap hari bukan hari minggu sahaja, jadi tolong jangan ambil kesempatan pada hari minggu untuk keluar beramai-ramai.

“Lebih-lebih lagi pemeriksaan lebih tegas dikenakan oleh pihak polis kerana pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan bahawa terdapat peningkatan dari segi kes positif Covid-19 daripada sebelumnya,” ujarnya.

Perkara ini, katanya menyebabkan pihak polis bertindak lebih tegas dan keras untuk menangkap dan sebagainya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan pada hari minggu untuk melanggar perintah PKP.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa daripada 554 ditangkap, tersebut seramai 489 individu direman dan 65 daripadanya dijamin serta 213 individu telah dituduh di mahkamah.

Tambahnya lagi, jumlah keseluruhan tangkap individu yang melanggar PKP sejak 18 Mac hingga 5 April seramai 5,048 orang.- HARAKAHDAILY 6/4/2020

- Advertisement -