Hadis mengenai 15 Ramadhan Jumaat

Daif dan mendapat banyak kritikan

- Advertisement -

SEMAKIN dekat dengan bulan Ramadhan, Hadis yang pernah tersebar sebelum ini mula disebarkan kembali. Ia mengenai tanggal 15 Ramadhan pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Menurut Hadis yang disebarkan oleh beberapa orang asatizah dari negara kita mahupun negara luar, pada malam Jumaat 15 Ramadhan tersebut akan berlaku suara tempikan yang kuat. Mereka juga mengaitkan malam tersebut dengan peristiwa Dukhan.

Setelah membuat carian, maka didapati Hadis mengenai perkara tersebut terdapat di dalam kitab Al-Fitan karya Nuaim bin Hammad, seorang ulamak Salaf yang terkenal sebagai pengumpul Hadis.

Setelah melihat komen ulamak Jarh wa Ta’dil, dapatlah disimpulkan bahawa Hadis tersebut daif kerana ramai perawi yang bermasalah. Abu Zar’ah berkata, Hadisnya tidak boleh dijadikan hujah.

- Advertisement -

Mengenai Nuaim bin Hammad sendiri, beliau hidup sebelum Imam Bukhari. Beliau meninggal pada tahun 228 Hijrah manakala Imam Bukhari pada 256 Hijrah Beliau menjadi pengumpul Hadis yang terawal. Imam Bukhari sendiri ada mengambil riwayat daripada beliau.

Walau bagaimanapun, setelah berkembang ilmu Jarh wa Ta’dil, didapati Hadis-hadis beliau banyak yang daif. Kerana itulah Imam Bukhari tidak meriwayatkan Hadis daripada beliau melainkan terdapat riwayat lain yang menyokongnya.

Mengenai kitab al-Fitan beliau secara khusus, Imam Zahabi mengatakan terdapat banyak kepelikan dan keganjilan di dalamnya. Menurut Syeikh Khalid al-Maghribi, setiap Hadis di dalam kitab al-Fitan perlu disaring kembali supaya dipastikan ia benar-benar sahih. Manakala Syeikh Mustafa Adwa pula mendapati kebanyakan Hadis di dalam kitab tersebut adalah daif.

Walau bagaimanapun suka untuk saya nyatakan seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Khalid al-Maghribi, Hadis daif walaupun tidak boleh dijadikan hujah, ia boleh dijadikan sebagai ihtiraz iaitu berjaga-jaga. Contohnya seperti seorang pembohong yang mengatakan malam ini ada pencuri ingin masuk ke rumahmu. Walaupun kita tahu dia pembohong, tetapi tidak menjadi salah untuk kita berjaga-jaga dengan meningkatkan keselamatan rumah.

Namun jika dikaji sejarah jatuhnya 15 Ramadhan pada hari Jumaat, maka kita akan dapati sejak abad ke-15 ini sahaja, sudah empat kali ia berlaku:
(1) 15 Ramadhan 1433 bersamaan 03/08/2012.
(2) 15 Ramadhan 1425 bersamaan 29/10/2004.
(3) 15 Ramadhan 1417 bersamaan 26/01/1997.
(4) 15 Ramadhan 1409 bersamaan 21/04/1989.

Justeru Hadis yang disebarkan ini terlalu jauh daripada kebenaran dan logik. Lebih baik ia tidak disebarkan bagi mengelakkan kekeliruan yang tidak perlu.

Banyak lagi Hadis-hadis akhir zaman yang lebih sesuai untuk disebarkan. Banyak lagi Hadis-hadis sahih yang perlu diketahui oleh masyarakat. Marilah kita menyebarkan ianya terlebih dahulu.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 6/4/2020

- Advertisement -