PRIHATIN jana ekonomi peniaga kecil

KANGAR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan kerajaan semalam sedikit sebanyak dapat membantu rakyat terkesan ekoran penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, PKP secara tidak langsung menyebabkan pendapatan rakyat yang menjalankan perniagaan secara harian terjejas.

Antaranya kata beliau peniaga pasar malam, pasar tani, pekan sehari, penjaja kecil makanan, petani dan buruh.

“Pakej yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam merupakan antara inisiatif terbaik kerajaan dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu sekarang.

“Bantuan wang tunai yang akan disalurkan nanti sedikit sebanyak akan dapat membantu menampung perbelanjaan harian golongan terbabit,” katanya di sini.

Sebelum ini beliau menyampaikan sumbangan kepada anggota keselamatan yang bertugas pada sekatan jalan raya bagi membendung penularan wabak Covid-19.

HARAKAHDAILY 28/3/2020