Keperluan pelajar di kampus terjamin

- Advertisement -

PAUH PUTRA: Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan keperluan pelajar memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjut kepada 14 April.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Dato’ Dr Mansor Osman berkata, pihak universiti akan cuba penuhi terutama aspek makanan (kebajikan), kesihatan dan keselamatan pelajar.

Katanya kementerian memberi jaminan kebajikan pelajar yang berada di universiti sepanjang PKP menjadi keutamaan pihak universiti.

“KPT percaya pihak universiti mempunyai perancangan dan meminta keluarga pelajar menghormati keputusan tersebut.

“Saya berharap kefahaman daripada ibu bapa untuk terus membiarkan pelajar kekal tinggal di pusat penginapan di universiti sepanjang tempoh PKP,” ujarnya pada lawatan di Bilik Bencana Covid-19 Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini semalam.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP Prof Ir Dr Mohd Rizal Arshad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Dr Mohd Foad Sakdan.

Selain meninjau fasiliti dan kebajikan pelajar, Dr Mansor turut diberi taklimat mengenai Bilik Gerakan Bencana UniMAP serta inisiatif penyelidikan komuniti yang dihasilkan bagi membantu pengurusan dan pengoperasian wabak Covid-19 ini.

Dr Mansor juga berkata, ibu bapa perlu faham situasi yang melanda negara sekarang memerlukan semua pihak berada di lokasi sedia ada dan mengurangkan pergerakan pelajar.

HARAKAHDAILY 28/3/2020

- Advertisement -