Pembentangan TGHH pada 3 Mac 1983

- Advertisement -

PADA 3 Mac 1983 PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) telah membentangkan sebuah kertas kerja yang bertajuk Ke Arah Pembentukan Harakah Islamiyyah, Individu Dan Organisasi.

Di hujung kertas kerja tersebut meletakkan subtajuk ‘Kebangkitan Islam’. Subtajuk ini saya salin dan siarkan di sini dengan beberapa suntingan kecil.

Secara latar belakangnya, pada April 1982 merupakan tarikh PRU ke-6. Iaitu zaman Tun Mahathir ketika itu tak sampai setahun menjawat sebagai Perdana Menteri ke-4 menggantikan Datuk Hussein Onn.

Era 1982 juga menyaksikan bagaimana Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) keluar dari ABIM dan menyertai Umno. Pada Oktober 1982 pula Dato’ Asri yang kamceng dengan DSAI pula meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS.

- Advertisement -

Pada 23 Februari beliau mengisytiharkan keluar dari PAS, dan pada 24 Mac 1983 beliau menubuhkan HAMIM. Menyebabkan PAS kehilangan 4 daripada 5 kerusi Parlimen.

Manakala subtajuk kertas kerja yang saya siarkan di sini bertarikh 3 Mac 1983. Di saat krisis itu seolah-olah TGHH sangat optimis dengan kemenangan Islam.

Kebangkitan Islam

Perkembangan terbaru yang membanggakan kita hasil daripada kelemahan sistem jahiliyyah telah membawa kesedaran untuk kembali kepada Islam.

Walau bagaimanapun kita janganlah bergantung dengan kelemahan musuh dengan tidak membina kekuatan kita sendiri.

Tidak siapa yang dapat menafikan bahawa wujudnya kebangkitan Islam dan kesedaran berfikir ke arahnya bukan sahaja di negara ummat Islam. Tetapi kesedaran itu melintasi perbatasan negeri-negeri bukan Islam di Eropah dan Amerika.

Lahirnya generasi-generasi yang mahu menghayati Islam bukan sahaja dalam hukumnya yang wajib, tetapi juga menghidupkan sunnah-sunnah yang hampir dilupai. Tetapi kesedaran itu hendaklah diberi garis panduan yang betul.

Di antaranya ialah;

(1) Pertama: Mempelajari Islam dari sumbernya yang dipercayai.

Terdapat di kalangan kita orang yang mempelajari Islam secara persendirian, melalui pembacaan dan sebagainya tanpa panduan daripada guru yang amanah.

Perkara itu mungkin berlaku kerana hilang kepercayaan terhadap ulamak, kerana ramai di kalangan mereka yang menjadi pengampu.

Tetapi percayalah bahawa dunia ini masih diisi dengan golongan yang beramal dengan ilmunya, penulis-penulis yang beriman dan berjuang dengan keyakinannya.

Oleh itu kita hendaklah pandai memilih guru, buku-buku yang dibaca dan selalu bermuzakarah secara berjamaah melalui usrah, agar lebih terjamin daripada sebarang penyelewengan.

(2) Kedua: Mengemukakan masalah dasar yang mesti diperjuangkan.

Di saat ummat Islam dilanda arus serangan pemikiran Sekularism dan ideologi kufur, sistem jahiliyyah pula sedang membelenggu mereka.

Yang menjadi masalah, ialah mengancam iman dan keperibadian ummah. Maka perhatian hendaklah ditumpukan untuk kekuatan aqidah dan memahami masalah dasar.

Amat malang bagi kita dan ini adalah perancangan musuh agar kita lebih memberi perhatian kepada masalah furu’ (cabang) yang menjadi masalah khilafiyyah dan ijtihadiyyah di kalangan ulamak silam.

Seperti masalah qunut, talqin, tahlil dan sebagainya. Padahal mereka yang mengemukakan masalah itu tetap menghormati pandangan orang lain yang berbeza dan berpegang kepada sabda Rasulullah S.A.W;

من اجتهد فأصاب فله أجران ومن اجتهد فأخطأ فله أجر واحد

“Orang yang berijtihad dan ijtihadnya betul, baginya dua pahala. Manakala orang yang berijtihad tetapi ijtihadnya salah maka baginya satu pahala”

Adalah menjadi satu kelemahan kepada Harakah Islamiyyah kalau kita menghabiskan masa dengan masalah sampingan seperti itu, sehingga kurangnya masa untuk menghadapi masalah dasar.

Menurut satu riwayat Imam Ahmad R.A, Abdullah bin Umar R.A telah menyanggah orang yang menimbulkan masalah seperti itu.

Apabila ditanya oleh seorang yang datang dari Iraq mengenai hukum darah nyamuk, lalu beliau (Abdullah bin Umar) bertanya:

“Awak dari mana?”

Orang itu menjawab:

“Dari Iraq”.

Abdullah bin Umar menyanggah;

“Lihat orang ini! Dia bertanya mengenai darah nyamuk, sedangkan mereka membunuh cucu Nabi, Hussain bin Ali R.A”.

(3) Ketiga: Berdakwah dengan kebijaksanaan dan cara yang lebih baik

Dalam menjalankan tugas dan kewajipan yang besar ini kita hendaklah berpandukan kepada apa yang ditunjuk oleh al-Quran;

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik…”

(an-Nahl: 125)

Kalau kita mengkaji ayat tersebut menunjukkan kepada kita jika ada jalan yang baik dan ada pula yang lebih baik, kita hendaklah memilih yang lebih baik kerana perjuangan kita bukanlah sekadar untuk melepas geram tetapi untuk mengubah pemikiran manusia.

Firman Allah S.W.T;

وَلَا تُجَـٰدِلُوۤا۟ أَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ مِنۡهُمۡۖ

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka…”

(al-Ankabut: 46)

Ayat ini menyebut mengenai Ahli Kitab, bagaimana pula dengan orang yang jahil dan tidak ada apa-apa pegangan?

Al-Imam Ghazali menyebut dalam kitab Ihya’ Ulumiddin bahawa menjalankan Amar Makruf Nahi Munkar hendaklah dengan bahasa dan cara yang paling lembut.

Dan beliau menyebut, bagaimana seorang yang menasihat Khalifah al-Makmun dengan bahasa yang kasar, dengan tidak memahami suasana, tempat dan keadaan orang yang bertanya.

Lalu Khalifah al-Makmun menjawab:

“Orang yang lebih baik daripada kamu telah menasihat orang yang lebih jahat daripada aku dengan bahasa yang lebih halus daripada ini.

“Allah telah mengutuskan Nabi Musa dan Harun yang lebih baik daripada kamu kepada Firaun yang lebih jahat daripada aku, tetapi Allah S.W.T berfirman;

ٱذۡهَبَاۤ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ ۝ فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلࣰا لَّیِّنࣰا لَّعَلَّهُۥ یَتَذَكَّرُ أَوۡ یَخۡشَىٰ

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kami berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”


(Taha: 43-44)

Di samping itu kita juga hendaklah memahami bahawa kebijaksanaan itu ada batasnya, kita hendaklah berhujah dengan orang yang mahu menghormati hujah.

Maka tidak bijaksana namanya kalau kita berlembut dengan orang yang zalim terhadap hujah yang baik.

Penutup

Marilah kita mengenal diri kita sendiri, bahawa kita bukanlah Nabi-nabi yang maksum atau malaikat yang bersih dari dosa, kita adalah manusia biasa.

Ada yang betul, dan ada pula kesilapannya dan ada rebah bangunnya dalam mengharungi hidup ini.

Kita janganlah lupa bahawa di saat kebangkitan ummah, bahtera perjuangan kita ditunggangi juga oleh orang-orang yang hatinya berpenyakit tamak.

Perjuangan ini mereka jadikan untuk kepentingan dunia, lidah-lidah mereka mengaku beriman, tetapi hati-hati mereka berkarat.

Dengan wujudnya golongan seperti itu dalam perjuangan akan mengganggu perjalanannya, hatta perjuangan Rasulullah S.A.W yang berpangkalan di Madinah Munawwarah pernah mengalaminya.

Tetapi segala-gala yang berlaku tetap menjadi pengajaran kepada perjuangan Islam di sepanjang zaman, orang-orang yang jahil mengenai hakikat perjuangan kita.

Akhir sekali marilah kita mengkaji dari semasa ke semasa untuk mematangkan iman dan amal kita, agar perjuangan kita sentiasa mendapat pertolongan Allah S.W.T dan keredhaanNya;

ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما، وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/3/2020

- Advertisement -