Senandung hilang darjat, pangkat

- Advertisement -

KITA melalui seminggu yang gawat, percaturan , bidak catur kepeningan, serta intriq dan polemik tentang persaingan kuasa, bergentayangan berita berita palsu dan separa benar dimedsos sehingga masyarakat awam merasa bingung dan keliru. Bermula di Sheraton, gawat di Istana apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdama Menteri seterusnya membawa kepada pembubaran kabinet kerajaan PH.

- Advertisement -

Drama politik menyaksikan usaha mengumpulkan SD ,persaingan siapa paling layak untuk menggalang jawatan PM dan akhirnya berkesudahan dengan pemasyuran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Avatar PH sehinggalah sosok utama PH mendendangkan lagu kerajaan pintu belakang untuk meletakkan kerajaan baru dikandang orang salah dipandangan masyarakat awam. Mereka tolol atau buat-buat tolol, itu saya tak pasti, Tun M meletakkan jawatan PM,kabinet terbubar ,kudeta tanpa tumpah darah ini berlaku begitu pantas .

Tiada istilah masuk pintu belakang kerana mereka sendiri yang merobohkan rumah dan segenap pintu yang ada. Rumah baru terpaksa didirikan untuk menggantikan rumah lama yang runtuh!

Pasca perlantikan PM baru ini , medsos merancak dengan tembakan rambang pemimpin Pan dan PKR,manakala pemimpin Dap agak malu-malu berpencak walaupun kita tahu mereka adalah pencatur utama dalam tim PH .

Saya memerhati status dan entri kawan-kawan lama yang hilang kuasa dan harkat sosial dimedsos. Tak mudah bagi mereka rupanya menelan pahatan takdir , kesedihan yang mendalam namun masih berbau kesombongan terus meratib kerajaan pintu belakang dan pelbagai penistaan kepada PAS terutamanya .

Kejatuhan yang paling perih dan tak terduga , sekelip mata mereka hilang keistimewaan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, tiada lagi kawalan keselamatan dan sambutan protokol buat mereka ,malah dijeling rakyat jembel seperti anjing buruk kepala.

Pedih dan terasa sakit apabila diejek tak sempat merasa duit pencen,diseranah warga netizen sesedap rasa sebagai acara balas dendam akibat sikap mereka dahulunya yang meninggi diri , membusung dada.

Pimpinan PAN, PKR sewajarnya berterimakasih kepada Presiden PAS yang menasihati ahli-ahli agar tidak ” menganjing” atau mentertawakan orang lain akibat kejatuhan kerajaan PH.

Malah Presiden PAS mengeluarkan arahan agar tiada himpunan atas nama meraikan kejayaan merubah pemerintahan dengan hasrat agar tanah watan ini dalam keadaan tenang dan politik yang matang .

Kontradik dengan hasutan halus pemimpin yang hilang kuasa, ada yang menyeru untuk berhimpun membantah kerajaan baru, ada yang galak untuk mengadakan jelajah rakyat,malah ada yang menangis tak berlagu akibat hilang jawatan.

Sebab itulah kata orang tua, kena beringat saat diatas , jangan sombong dan sembarangan tingkah,kesannya tersangat sakit bila tersadung dan terjatuh dibawah.

Ada pak Menteri dulu memperlekehkan kuasa media sosial tapi bila hilang jawatan lagaknya seperti cytro kelas A, ada yang meloncat loncat minta PAS melaksanakan hukum Hudud, mengharamkan arak, menghapuskan PTPTN, menghapuskan tol, menunaikan itu dan ini sedangkan sebelum ini mereka telah diberikan kuasa. Rupanya hilang kuasa menjadikan mereka pulih semula ingatan dan sangat efektif sebagai pembangkang.

Kesombongan dan nilai arogansi ini bukan sahaja dijiwa pak Menteri atau Timbalan,bahkan kepada pegawai-pegawai lantikan politik kerajaan PH. Tempoh 21 bulan ini menyebabkan kita mengenal watak manusia dipuncak kuasa.

Teman-teman ” so called ” ahli NGO Islam yang berada di Putrajaya agak rakus memotong nama asatizah siapa yang boleh bersiaran di media perdana ,malah diperingkat negeri menghalang asatizah tertentu daripada menyampaikan kuliah-kuliah di masjid surau.

Kuasa kadang segenggam kuasa menjadikan kita alpa dan tak ingin mengalah. Seorang bekas teman saya dimedan penyiaran dengan agak boros menghina Ustaz Ahmad Dasuki yang mengkritik pengurusan Tabung Haji dengan menyifatkan UAD sebagai ” pakar alam kubur” yang tak sepatutnya campurtangan dalam bidang isu ekonomi .

Taqdir telah tercatat, PH adalah kerajaan suku penggal yang gagal. Hutang negara meningkat, salahurus yang agak tenat terutama aset umat Islam, polarisasi kaum yang meruncing, perebutan kuasa yang tak berkesudahan sehinggalah PM meletakkan jawatan. Berantakan dan hilang rentak !.

Saya ingin mengesyorkan pada teman-temanku yang hilang kuasa terutama daripada PAN untuk bertenang dan melihat kedalam diri,jangan seronok sangat meratib ” pengkhianat” kerana kalian pernah melanggah ikrar baiah dan melarikan kerusi PAS pada tahun 2015 dahulu.

Jangan kalian menjadi singkat ingatan kerana karma itu akan menghujam nasib kalian sebagai ikrar yang dilafazkan sebagai calon PAS dalam pilihanraya. Banyakkan membaca al Quran,berpuasa sunat, berzikir, melazimi bangun malam, menziarahi kematian dan solat jenazah , insyaallah jiwa akan kukuh dan tenang. Masih nak bertanding pilihanraya kan?

Hindarkan berbalas serangan dimedsos sebulan dua ini, kerana netizen ramai sedang bertapa dimedsos kalian, menunggu masa untuk membahan, mereka sedang merayakan kejatuhan kalian dengan rasa seronok.

Jika membaca komen netizen,jiwa kalian akan lebih koyak rabak. Kalian adalah bekas Menteri,Timbalan Menteri,penjawat jawatan kanan politik sangat tak sesuai menzahirkan kekecewaan hilang kuasa di medsos, bertenanglah ,hidup ini tak selamanya kita berada di atas!.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis adalah calon dua kali kalah piihan raya dan menjiwai nasib mereka yang kecundang)

HARAKAHDAILY 4/3/2020

- Advertisement -