K’jaan baharu koalisi ikut Perlembagaan, bukan kudeta

- Advertisement -

RAMAI yang memandai-mandai menggunakan istilah ‘rampasan kuasa’ atau kudeta ‘coup d’etat’ merujuk kepada peralihan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tertentu dari PH ke Perikatan Nasional.

- Advertisement -

Saya sarankan cuba memahami dulu apa maksud ‘rampasan kuasa’ atau ‘kudeta’ ini supaya tidak dipandang keterlaluan sangat dalam kejahilan.

‘Sudden, violent, illegal seizure of power from a government’.  Pengambilan kuasa yg berlaku secara tiba-tiba dengan cara yang ganas, keras dan tidak mengikut undang undang. Itu yang dipanggil ‘kudeta’ atau ‘rampasan kuasa’. Sepanjang sejarah dunia ia selalu berlaku melibatkan rampasan oleh angkatan tentera.

Apa yang berlaku di Malaysia adalah pertelagahan dalaman Pakatan Harapan (PH) di mana berakhir dengan perpecahan hingga PH tidak lagi memiliki majoriti di Parlimen, sekali gus Kerajaan PH runtuh bila Tun Mahathir berkata beliau tiada pilihan melainkan meletakkan jawatan.

Perikatan Nasional adalah koalisi pertama yang memperolehi sokongan majoriti Ahli Parlimen pada hemat DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong lalu diperkenan perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ia satu proses yang mengikut peraturan dan undang-undang, berpelembagaan, aman tanpa sebarang kekerasan, dan bukan secara ‘sudden’ tiba-tiba kerana satu tempoh masa yang agak panjang digunakan oleh YDPA dalam menentukan kerajaan baru.

Baginda melantik Perdana Menteri Interim. Kemudian menemuduga setiap 222 Ahli Parlimen, Baginda memanggil Mesyuarat Raja-raja Melayu untuk mendapatkan pandangan, Baginda menerima mengadap wakil parti-parti dari semua pihak.

Perlantikan telah dibuat secara siaran langsung dengan istiadat pelantikan, angkat sumpah Perdana Menteri yang teratur, dihadiri dan disaksikan Ketua Hakim Negara dan seluruh rakyat.

Jelas sekali ia sebuah Kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil kuasa secara proses demokratik, mengikut undang-undang dan Perlembagaan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
4 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 4/3/2020

- Advertisement -