‘Pengkhianat’: Cermin diri sebelum kata orang lain

- Advertisement -

ADA PEMIMPIN PH berkata, mereka yang ‘merampas kuasa’ melalui pintu belakang adalah pengkhianat. Dia tak jumpa dalam kamus istilah yang paling baik untuk diberikan, melainkan istilah pengkhianat juga. Saya agak terkejut juga.

Tertanya-tanya saya, siapa pengkhianat sebenarnya? Pada saya pengkhianat sebenar adalah mereka yang bersikap hipokrit. Kejap-kejap berubah kulit. Macam sesumpah.

Contoh sangat ketara pengkhianat adalah, sekejap mereka kutuk Tun Mahathir, sekejap lagi dia jilat Tun Mahathir. Itulah pengkhianatan. Saya tidak boleh bayang melihat drama pemimpin PH ini. Apabila kerajaan yang diterajui PH hampir tumbang, mereka kutuk Tun Mahathir kaw-kaw. Seolah-olah Tun Mahathir tidak ada jasa langsung. Sedangkan Tun Mahathir paling banyak berjasa.

- Advertisement -

Selang sehari kemudian, mereka puji Tun Mahathir melambung. Manusia jenis apakah ini? Saya pun tidak jumpa dalam kamus, istilah apa yang paling baik untuk diberikan kepada orang jenis ini.

Dalam bahasa mudah, bila ada kepentingan, sesumpah ini bukan main puji Tun Mahathir. Bila tak ada kepentingan mereka kutuk Tun Mahathir. Lebih hina lagi, setelah mereka kutuk, kemudian menyedari kesilapan yang dilakukan cepat-cepat u-turn.

Ada pemimpin PH yang kejap u-turn, kejap lagi u-turn balik. Ini bukan sahaja pengkhianatan, tetapi, ini sikap laknat.

Pengkhianatan paling besar juga adalah apabila dia diamanahkan menjaga Islam tetapi dia tidak jaga dengan baik, tunduk kepada Ultra Kiasu. Itulah pengkhianat yang sebenar. Akhirnya, Ultra Kiasu pijak-pijak agama kita, seolah-olah tidak ada nilai.

Sebab itu, sebelum nak mengatakan orang pengkhianat, ambil cermin besar-besar, lihat diri dahulu.

Saya mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin yang tidak menyedari dirinya juga pengkhianat. Berjiwa besarlah.

Jasa Tun Mahathir, tidak ada tolok bandingnya, seperti kata Presiden PAS. Jasa Tun Mahathir terlalu besar untuk negara ini.

Justeru, jangan gunakan nama Tun Mahathir untuk kepentingan peribadi, dan nafsu serakah.

Hidup ini umpama roda, terimalah hakikat. Ada kalanya kita di bawah, ada kalanya kita di atas. Hari ini Allah uji kamu, berada di bawah. Terimalah dengan lapang dada.

Ketika kamu berada di atas, kamu tak pandang orang bawah seperti kami ini. Malah, kamu tekan kami lagi. Sekarang, Allah tarik semua itu.

Allah uji pula Perikatan Nasional berada di atas. Kita belum tahu, apa seterusnya. Harap-harap menjadi lebih baik dan terbaik.

Ingatan saya kepada Perikatan Nasional, jaga amanah ini, sementara Allah berikan peluang. Tidak mustahil Perikatan Nasional satu hari ini akan berada di bawah jika tidak menjaga amanah yang telah dititipkan. Jagalah amanah, jika tidak mahu musnah;

“Jagalah Allah, Allah akan jaga kamu.”

Jika khianat, pasti episod yang sama akan berulang. Akhirnya, hidup ini terlalu singkat, jadilah seorang yang bersifat mujahid, bukan mujahat.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 4/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -