DJZ pengembala, kerajaan ternakan dicucuk hidung?

    - Advertisement -

    KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyifatkan alasan Dong Jiao Zong menentang pengenalan Jawi di sekolah vernakular kerana risau dan takut akan proses Islamisasi adalah tidak masuk akal.

    - Advertisement -

    Ketua Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan berkata, alasan sedemikian seakan-akan menghina intelek rakyat Malaysia yang majoriti beragama Islam dan beridentiti Melayu.

    “Jawi adalah budaya Malaysia, sepertimana bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia. Jawi adalah budaya kita yang semakin terpinggir.

    “Menakut-nakutkan kaum Cina dengan tuduhan pelajaran Jawi adalah salah satu bentuk Islamisasi adalah hujah malas dan boleh menjadi satu bentuk penghinaan kepada budaya kita.

    “Apa alasan sebenar Dong Zong, hanya mereka yang tahu. Yang pasti, kedegilan mereka untuk memudahcara silibus yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seakan-akan menghantar mesej jelas menunjukkan siapa ‘bos’ yang sebenar,” katanya.

    Menurutnya, mengetahui pihak Dong Zong tidak hormat kepada Menteri Pendidikan kerana kebanyakan urusan dikendalikan oleh Timbalan Menteri dan juga wakil DAP.

    Maka ujarnya, tidak hairan mereka masih berdegil dan tetap enggan berganjak malah menunjukkan kuasa pengaruhnya yang mesra dengan kaum Cina malah mengingatkan ahli politik bahawa Dong Zong mampu menundukkan Kerajaan PH.

    Beliau menyifatkan Dong Zong sebenarnya menunjukkan kepada Kerajaan PH bahawa mereka adalah pengembala dan kerajaan adalah ternakan yang dicucuk hidung.

    “Jika mereka enggan patuh kepada arahan Kementerian Pendidikan sepertimana kuasa yang diberikan kepada kementerian di bawah akta Pendidikan negara, mungkin Dong Zong boleh memulangkan kembali peruntukan kerajaan dan mentadbir sekolah-sekolah mereka di bawah naungan mereka sebagai sekolah swasta sepenuhnya.

    “Menteri Pendidikan perlu sedar dari mimpi yang lena dan sudah tiba masanya untuk menggunakan kuasa yang diberikan oleh rakyat. Jangan terikut-ikut ugutan mereka seakan-akan ternakan yang dicucuk hidung,” ujarnya.

    Dong Zong terus berdegil tidak bersetuju dengan pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pengenalan pelajaran tulisan Jawi sebanyak 3 muka surat di sekolah vernakular.

    Jumaat lalu, polis mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang Persidangan Organisasi China yang dianjurkan oleh Dong Zong yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu, atas sebab dibimbangi berlaku kekacauan atau rusuhan.

    Hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak polis tersebut dan mengaitkan tindakan sebegitu tidak berlaku semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan dua bulan lepas. – HARAKAHDAILY 30/12/2019

    - Advertisement -