SESIAPA yang mendakwa bahawa Uyghur dan Xinjiang adalah hanya isu dalaman China bererti dia tidak mengkaji dan mengambil pelajaran daripada sejarah.
Palestin dahulu adalah sebuah negara merdeka sehingga dijajah Israel sehingga tertubuhnya negara haram Israel pada 15 Mei1948 dan Palestin kini tiada lagi dalam peta dunia.
Arakan yang menempatkan Muslim Rohingya dahulu adalah wilayah yang pernah diperintah oleh kesultanan Islam selama 354 tahun sebelum dijajah oleh Burma, dan kini di bawah Myanmar yang tidak lagi mengiktiraf Rohingya sebagai warga mereka.
Kashmir dahulu berada di bawah kerajaan Islam yang berdaulat sebelum dijajah British yang kemudiannya menyerahkan kepada kerajaan India yang kini sedang membaham hak dan kebahagiaan rakyat Kashmir.
Fattani Darussalam adalah sebuah wilayah Islam yang pernah diperintah oleh kerajaan Melayu Islam selama 3 abad sebelum dijajah dan berada di bawah pemerintahan Siam, dan kini Thailand yang telah menghilangkan identiti Melayu Muslim kebanyakan mereka.
Muslim Uyghur asalnya adalah penduduk majoriti (95 peratus) Turkistan Timur yang dijajah oleh kerajaan Komunis China pada 1949, dan nama wilayah ini ditukar kepada Xinjiang yang kini berada di bawah cengkaman mereka. Penindasan bukan sahaja kepada agama, bahkan kepada bahasa dan budaya Uyghur (bahasa Turki, agama Islam, budaya yang tersendiri).
Akibat tekanan, seksaan dan cultural genocide, ramai di kalangan mereka yang telah berhijrah ke Turki. Dengan kemasukan orang China kaum Han, kini Muslim Uyghur hanyalah 40 peratus daripada keseluruhan penduduk di Xinjiang (Turkistan Timur).
Usah baca isu Uyghur dengan kaca mata kemanusiaan, mahu pun rangka geopolitik semata-mata. Sebagai umat Islam, kita perlu meletakkan tasawwur al-Quran yang menjelaskan pertembungan di antara hak dan bathil, pertembungan akidah di antara Iman dan kufur.
Semua pandangan yang diberikan diambil kira, amat bermakna dan dihormati.
Kita baca dan buat keputusan dengan bacaan ‘big picture’ ummat sejagat yang lebih betul dan bukan ambil jalan yang lebih mudah.
Ya, memang perjalanan umat ini masih jauh dan panjang.
Wallahu’alam.
PROF DR ZAINUR RASHID ZAINUDDIN
Naib Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia – HARAKAHDAILY 30/12/2019
Siapa kata Uyghur adalah isu dalaman China?
- Advertisement -