Pencapaian menunjukkan PAS tak cerdik politik?

    - Advertisement -

    TAMBUN: Prinsip perjuangan dan kemenangan Islam hendaklah diukur di sisi Allah S.W.T dan bukannya dari sudut pandang manusia yang menghukum PAS tidak cerdik politik atas pencapaian semasa.

    - Advertisement -

    Walhal, perjuangan PAS adalah untuk meletakkan Islam dimartabat ditetapkan Allah sebagaimana kupasan Sheikh Fathi Yakan dalam buku Bahtera Penyelamat dikarangnya.

    Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said berkata, tugas ahli-ahli PAS adalah melebarkan pengaruh parti ini bukan sahaja sebagai badan politik, tetapi juga dakwah.

    “Iaitu menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Malah memahamkan mereka bahawa perjuangan PAS adalah mengenai siyasah Islam yang telah sekian lama penjajah ‘hantui’ pemikiran yang mengasingkan politik dari Islam,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian dalam majlis penubuhan baharu ketujuh dalam tempoh dua bulan bagi PAS Tambun melibatkan PAS Cawangan Gugusan Desa Chemor, di sini malam kelmarin.

    Pembentukan Jawatankuasa Penaja sepakat melantik Ustaz Mohamad Yusman Yahya selaku Ketua Penaja PAS Cawangan, manakala Muhammad Nizam Sai sebagai Setiausaha bersama lapan ahli jawatankuasa.

    Cawangan baharu ini melibatkan gabungan ahli PAS bagi penempatan Desa Chemor Impian, Desa Chemor Sejahtera, Desa Chemor Setia, Desa Rasi, Desa Sri Kuang, Taman Chepor Impian dan Taman Chepor Damai.

    Hadir sama adalah Setiausaha PAS Tambun, Syed Noor Hisham Syed Hassan dan Ketua PAS Zon Chemor, Ustaz Asfawi Abdullah dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 13/12/2019

    - Advertisement -