Tahfiz, pondok: Jadikan pilihan pertama, bukan terakhir

- Advertisement -

PASIR SALAK: Ibu bapa seharusnya mempunyai pandangan bahawa institusi tahfiz dan pondok sebagai pusat pendidikan terbaik, bukannya pilihan terakhir atau tempat untuk menghantar anak-anak nakal.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak, Jamaliah Sudin berkata, institusi tersebut perlu dilihat sebagai harapan ibu bapa menggapai cahaya Allah yakni untuk anak-anak menghafaz dan memahami ilmu al-Quran.

Kelak menurutnya, ibu bapa bakal menerima syafaat mengutip ganjaran berupa buah-buahan di syurga, selain banyak hikmah dan manfaat daripada kesolehan serta keberkahan memiliki anak yang sedemikian.

Perkara tersebut dikupas beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kem Jom Solat 2019 yang dilangsungkan di PASTI An-Najihin, Langkap, di sini baru-baru ini.

Puji Jamaliah, anak-anak yang hadir ke kem tersebut adalah istimewa kerana dipilih Allah dalam kalangan ramai pelajar lain sedang leka dengan bermain telefon pintar, video, televisyen dan sebagainya.

Terangnya, walaupun semua itu menyeronokkan, mereka lebih sepatutnya merasa gembira hadir ke program yang memberi ilmu dan ganjaran pahala walaupun berada hanya seketika pada kem tersebut.

Jelas beliau, paling utama adalah anak-anak di kem itu telah menimba ilmu, memperbetulkan amalan solat, mempelajari bacaan dan hafazan ayat al-Quran di mana bermanfaat bukan sahaja untuk dunia, tapi juga akhirat.

Katanya juga, segala dilalui sepanjang kem merupakan hal-hal mendidik jiwa di mana ibu bapa pula perlu memastikan anak mereka sentiasa di landasan didikan yang betul dengan meneruskan perkara sama di rumah. – HARAKAHDAILY 13/12/2019

- Advertisement -