PSR banyak keburukan, tetapi DAP degil teruskan

    EIA diluluskan JAS dalam 2 hari amat diragui

    - Advertisement -

    KEPALA BATAS: Perbahasan banyak pihak mengenai projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang bertujuan mendanai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion itu jelas mengutarakan begitu banyak keburukan bakal terjadi.

    - Advertisement -

    Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Farhan Yusri menyenaraikan sekurang-kurangnya lima impak negatif akan mengundang disebalik keghairahan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk tetap berdegil meneruskan projek berskala super mega itu.

    Pertama menurutnya, terhadap alam sekitar yakni secara khusus kemusnahan kekal kepada ekosistem laut dan kedua, terhadap kehidupan golongan nelayan, manakala ketiga, kadar sumber perikanan serta pasaran jual belinya nanti.

    Sementara keempat katanya, kampung-kampung warisan dan budaya berhampiran kawasan tambakan akan lenyap ditelan sejarah serta kelima terhadap geopolitik kependudukan rakyat asal yang menjadi wajah sebenar bumi Pulau Mutiara itu.

    Perbahasan tersebut diperincikan beliau yang juga Pegawai Khas Adun Penaga dalam program FB Live: Bicara Pemuda Penang selaku panel dalam mengupas isu tersebut di Markas PAS Pulau Pinang, Pongsu Seribu, di sini kelmarin.

    Beliau melontarkan keraguan terhadap Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang diluluskan dalam tempoh hanya dua hari, sedangkan projek tersebut berdepan 72 syarat wajib dipatuhi, selain 18 nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

    Farhan turut membidas betapa desakam projek PTMP juga telah mengkesampingkan sensitiviti umat Islam antaranya dalam kes Masjid Sungai Nibong Besar yang ‘dimangsakan’ ekoran perubahan jajaran Aliran Transit Ringan (LRT) sebagai sebahagian pakej projek.

    Bidas beliau, tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk tetap meneruskan semua projek super mega ini walaupun dibantah serta diminta tangguh oleh banyak pihak adalah kerana kuasa, sekali gus menuntut isu ini juga diselesaikan secara politik.

    Tempelaknya, kerajaan yang memerintah seperti memandang enteng segala hujah dan tidak mempedulikan suara rakyat hingga dapat dilihat banyak tindakan bercanggah dari slogan dilaungkan mereka antaranya perubahan terhadap kehijauan alam semulajadi.

    “Projek PSR ini beri kesan buruk. Lihat banjir yang kerap terjadi kini. Begitu juga penindasan terhadap nelayan, golongan lemah yang hidup miskin. Harga ikan hari ini dapat tengok sangat melambung. Begitu juga bila dilenyapkan kampung-kampung, beri kesan geopolitik.

    “Ketika sama membangun projek perumahan yang tidak mampu dibeli masyarakat setempat. Menyebabkan mereka terpaksa berpindah keluar dari pulau. Hal ini sudahpun terjadi di Daerah Timur Laut di mana jumlah sedikit penduduk Islam menyebabkan Solat Jumaat tergendala, kerana makmum tak cukup.

    “Paling utama, pembangunan cuba dilakukan ini tidak dibuat secara betul dan tidak mengambil kira komposisi penduduk di mana ini akan membawa situasi tidak aman kepada masyarakat di masa depan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/12/2019

    - Advertisement -