‘Pada 2 Ogos kita bentuk Kerajaan Bersama PN-BN’

- Advertisement -

PORT DICKSON: Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pilihan raya lazimnya berlangsung dalam tempoh lima tahun, namun di Negeri Sembilan kali ini berlaku ketika tempoh pemerintahan belum menjangkau tiga tahun.

“Pilihan raya ini biasanya lima tahun sekali, sepatutnya tidak dibuat lagi kerana tempoh baharu belum cukup tiga tahun,” jelasnya yang juga Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai pilihan raya yang dipaksakan ke atas kerajaan tidak stabil di Negeri Sembilan sehingga membawa kepada pembubaran dan pilihan raya diadakan.

Bagaimanapun, beliau melihat keadaan tersebut mempunyai hikmah tersendiri, khususnya melalui pembentukan muafakat baharu antara Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN].

“Hikmah lain, walaupun tak cukup tiga tahun, yang penting ialah hasrat kita secara bersama antara BN dan PN untuk kita membentuk kerajaan pada dua Ogos ini, kerajaan kita bersama,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas kerajaan bersama dibentuk, rakyat perlu membuktikan bahawa orang Melayu mampu hidup, duduk dan membentuk kerajaan secara bersama.

Katanya, kejayaan muafakat di Negeri Sembilan berpotensi menjadi contoh serta memberi kesan kepada negeri-negeri lain seperti Selangor dan Perak.

Ahmad Samsuri turut mengajak masyarakat di Negeri Sembilan mendoakan agar perjuangan memupuk kesepakatan itu mencapai matlamatnya walaupun perjalanan masih jauh.

Beliau menegaskan, komuniti di negeri itu mempunyai peranan dan ‘saham’ besar dalam memastikan muafakat antara orang Melayu terus diperkukuhkan.

“Insya-Allah, saham inilah saham yang besar antara perkara kita berlumba-lumba melakukan perkara yang baik dalam kehidupan kita ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -