
PORT DICKSON: “Pilihan raya ini tidak selesai pada 1 Ogos apabila pusat mengundi ditutup, bahkan kita masih ada tugas pengiraan undi dan ejen kiraan sehingga keputusan diisytiharkan,” kata Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Jelasnya, bukan beliau sahaja, bahkan keseluruhan jentera mempunyai tanggungjawab yang sama, iaitu memastikan kemenangan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Negeri Sembilan.
Beliau menyifatkan pilihan raya Negeri Sembilan sebagai unik berbanding pilihan raya di Johor dan Pilihan Raya Umum lalu kerana ia membuka ruang kepada pengundi serta ahli Umno dan BN untuk duduk semeja bersama PN.
Katanya, kerjasama yang dibentuk dalam tempoh singkat itu lahir daripada komitmen dan iltizam kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan bagi mencapai sasaran lebih besar, iaitu menewaskan Pakatan Harapan daripada membentuk kerajaan sekali lagi di Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama jentera dan penduduk di DUN N.14 Sikamat, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pimpinan BN dan PN dapat duduk berbincang kerana memahami setiap perjuangan politik perlu mengambil kira maslahat, matlamat dan objektif yang lebih besar.
“Negeri Sembilan ini menjadi satu titik permulaan yang sangat penting, apabila kita mengenepikan kepentingan peribadi, kepentingan kepartian dan kepentingan lain dengan meletakkan objektif serta maslahat yang lebih besar,” katanya.
Beliau yakin kejayaan di Negeri Sembilan tidak akan berakhir di negeri itu semata-mata, bahkan boleh menjadi inspirasi, pembakar semangat dan motivasi untuk mencapai kemenangan di negeri-negeri lain serta membentuk kerajaan bersama di peringkat Persekutuan.
Dr Ahmad Samsuri berkata, hasrat membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan bukan dibuat untuk kepentingan suka-suka, sebaliknya kerana PN dan BN melihat mudarat yang sedang dihadapi rakyat sekiranya Pakatan Harapan terus kekal sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Beliau berkata, pengorbanan turut dilakukan oleh BN apabila ramai yang menyimpan hasrat untuk menjadi calon dalam 36 kerusi dipertandingkan, namun terpaksa mengetepikan cita-cita tersebut demi persefahaman bersama.
“Dalam pembahagian kerusi itu, BN bertanding di 25 kerusi manakala PN di 11 kerusi. Ini adalah pengorbanan yang ditunjukkan oleh kepimpinan untuk berbincang dan kita yang menjadi jentera dan rakyat di bawah juga ingin membawa cerminan kerjasama ini sampai ke bawah,” jelasnya.
Beliau berharap kerjasama itu berkekalan sekiranya semua pihak ikhlas serta memahami sebab ia dibentuk, sekali gus membawa kepada pencapaian objektif lebih besar pada Pilihan Raya Umum peringkat Parlimen akan datang.
“Moga-moga kerja buat kita ini diberkati oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026










