Dr Sam optimis PN-BN capai majoriti dua pertiga di N9

- Advertisement -

PORT DICKSON: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yakin persefahaman antara PN dan Barisan Nasional (BN) mampu mencapai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

“Inilah yang kita rangkakan di mana telah menjadi suatu sejarah yang sangat besar dalam gerak kerja pilihan raya apabila Perikatan Nasional mengadakan kerjasama dengan Barisan Nasional.

“Biru sama biru, walaupun tak sama biru. Kita mengenepikan pelbagai perkara yang berada dalam kepala kerana kita melihat di manakah kepentingan yang menjadi prioriti kita untuk melakukan perubahan.

“Di Johor tidak berlaku sedemikian kerana masa yang sangat singkat. Alhamdulillah di Negeri Sembilan ini berlaku suatu bentuk kerjasama yang baru yang tidak pernah digambarkan.

“Menjadi suatu paranoid kepada Kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini. Tidak pernah terfikir dalam kepala mereka sekiranya kita menghantar satu mesej yang jelas kita mampu untuk mencapai dua pertiga.

“Saya percaya dalam dalam analisa kita dua pertiga itu mampu dicapai  dalam kerjasama pakatan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional ini,” katanya ketika berucap pada Sembang Santai bersama Calon DUN Lukut, di sini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, keputusan PRN Negeri Sembilan amat penting kerana ia mampu menjadi petunjuk kepada landskap politik negara menjelang pilihan raya akan datang.

Menurutnya, perkembangan politik selepas Pilihan Raya Negeri Johor menunjukkan terdapat perubahan sentimen rakyat yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk mencipta gelombang baharu politik di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS menolak dakwaan kononnya wujud layanan berbeza terhadap mana-mana kaum di negara ini.

Katanya, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan etnik memainkan peranan penting dalam pembangunan negara serta menyumbang kepada ekonomi melalui pelbagai bentuk pembayaran cukai.

“Tidak timbul soal rakyat kelas kedua. Orang Melayu, Cina, India serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak semuanya adalah rakyat Malaysia yang bersama-sama membangunkan negara ini.

“Setiap orang menyumbang kepada ekonomi negara, sama ada melalui cukai pendapatan atau cukai yang dibayar ketika membeli barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, kerusi DUN Lukut yang ditandingi calon PN-BN, Sathes Kumar Nilameham berpotensi menjadi antara penyumbang penting kepada sasaran tersebut sekiranya mendapat sokongan padu pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Setelah selama 20 tahun DUN Lukut diwakili oleh mereka daripada parti lain yang tidak bersama dengan kita, kali ini, insya-Allah kita akan lakukan perubahan di DUN Lukut,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -