
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyangkal dakwaan bahawa isu penyaluran royalti petroleum yang dihadapi negeri itu ketika ini sama seperti yang berlaku pada era pentadbiran Kerajaan Persekutuan terdahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata demikian mengulas berhubung kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mengenai isu bayaran royalti petroleum kepada Terengganu.
Menurutnya, Kerajaan Negeri merakamkan terima kasih kepada saudara Kamil kerana kenyataan beliau secara tidak langsung mengesahkan perkara pokok yang dibangkitkan selama ini, iaitu lebih separuh royalti petroleum Terengganu tidak disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri.
“Namun, adalah tidak tepat apabila keadaan hari ini cuba disamakan dengan amalan pentadbiran terdahulu.
“Ketika pentadbiran Persekutuan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, sebahagian besar, malah pada ketika tertentu keseluruhan bayaran royalti disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau menegaskan, persoalan sebenar bukan mengapa Terengganu menuntut royalti, sebaliknya mengapa hak yang sebelum ini boleh disalurkan terus kepada kerajaan negeri kini tidak lagi diserahkan dengan cara yang sama.
Tambah Muhammad Khalil, royalti petroleum bukan sedekah atau ihsan yang tertakluk kepada pertimbangan politik semasa, sebaliknya hak negeri yang perlu dilunaskan mengikut semangat Akta Pembangunan Petroleum 1974.
“Apabila hak itu diurus seolah-olah bergantung kepada budi bicara Kerajaan Persekutuan, maka maksud asal royalti telah dikaburkan.
“Sebab itu Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan isu ini secara berprinsip, berfakta dan melalui saluran yang sah sebagaimana ditegaskan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah bergantung sepenuhnya kepada royalti petroleum sebagai sumber ekonomi tunggal.
“Selaras dengan titah Pemangku Raja Terengganu supaya negeri mempelbagaikan sumber hasil selain petroleum, usaha memperkukuh hasil baharu dan menarik pelaburan strategik terus dilaksanakan.
“Hasilnya, pada tahun 2025 hasil negeri meningkat kepada RM454.69 juta, angka tertinggi pernah direkodkan.
“Terengganu juga mencatat prestasi pelaburan terbesar dalam sejarah negeri, termasuk dalam sektor pembuatan, tenaga, industri hiliran dan teknologi hijau,” katanya.
Namun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, kejayaan meningkatkan hasil negeri tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak royalti yang sepatutnya diterima.
“Royalti bukan isu politik. Royalti ialah isu amanah, keadilan dan maruah negeri. Rakyat Terengganu tidak meminta lebih, hanya menuntut apa yang sememangnya menjadi hak negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Harakahdaily melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu mendedahkan sebanyak 52 peratus daripada bayaran royalti petroleum bagi tahun 2025 tidak disalurkan ke akaun kerajaan negeri, dengan jumlah tidak diterima secara kumulatif mencecah RM2.25 bilion sejak 2023.
Ahmad Samsuri berkata, daripada RM1.37 bilion royalti petroleum yang direkodkan pada 2025, hanya RM659 juta disalurkan terus kepada kerajaan negeri.
Menurut beliau, baki RM713 juta atau 52 peratus tidak diterima disalurkan ke akaun kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 27/4/202




















