Kasman usaha angkat martabat usahawan Kunak

- Advertisement -

LAHAD DATU: Zaman yang makin mencabar tuntutan hidup dan ekonomi, menjadikan keusahawanan satu bidang yang tidak boleh ditinggal tepi, kata calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Kunak, Kasman Karate.

- Advertisement -

“Saya merasa untuk urusan ini saya tidak boleh berdiam saja. Demi membantu masyarakat, kita memerlukan satu perancangan jangka panjang yang konsisten,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau.

Menurutnya, sebagai salah seorang aktivis Persatuan Peniaga Bersatu Kunak (PPBK), beliau bersama rakan-rakan berusaha untuk aktif turun padang mengurus dan melaksanakan projek konsesi tapak bazar raya.

“Kerana pada kami, di situlah ruang penting yang menjadi sumber rezeki ramai peniaga kecil daerah ini, tempat menggantung harapan dan menyuburkan ekonomi tempatan.

“Sentuhan yang kita perlukan haruslah jelas teratur, mesra, dan sentiasa memikirkan nasib para peniaga,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, mengurus di sini bukan sekadar memastikan tapak terisi, tetapi juga memastikan peniaga merasa dihargai, dihormati dan dibantu.

“Apa yang penting, kita berusaha untuk memudahkan urusan mereka.

“Di luar kerja sukarela, saya juga mencuba untuk membina impak jangka panjang melalui perniagaan sendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, Kunak Grafik, yang diasaskan sejak 2012, satu-satunya kedai printing di Kunak ketika itu, sehingga kini masih beroperasi dan menjadi salah satu tonggak penting kepada banyak peniaga dan agensi tempatan.

Beliau berkata, permulaan dari premis kecil itu jugalah yang telah membuka peluang pekerjaan kepada lima anak tempatan, melatih mereka dalam industri kreatif dan memberi mereka ruang untuk membina kerjaya yang stabil.

“Ini adalah sumbangan kecil yang saya harapkan dapat memberi impak besar dalam sebuah daerah yang memerlukan lebih banyak platform pembangunan,” tambahnya.

Katanya, Kunak mungkin sebuah daerah kecil, tetapi dengan merangka idea dan membuka peluang, potensinya sentiasa terasa besar.

“Dan selama kita sama-sama berkarya, bergerak, dan berbakti, ekonomi dan semangat keusahawanan di Kunak akan terus menyala. Tenang, tapi terang,” ujarnya.

Bagi Kasman, apapun cabaran, beliau yakin, pasti ada jalan dan peluang dan apa yang penting bagi beliau ‘Bikin Kasi Jadi’.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, beliau berdepan dengan lima calon lagi yang bertanding di DUN Kunak yang mempunyai 24,854 pengundi. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -