
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Tanjung Batu, Ahmad Dullah berkata jawapan yang diberikan anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini cukup membanggakan.
Kata beliau, dalam sesi perlawanan persahabatan antara pasukannya (foto atas) dengan Team MB Kedah, pihaknya sempat menemu bual beberapa anak muda yang hadir memberi sokongan.
“Jawapan mereka cukup membanggakan. Mereka kata anak muda hari ini tidak lagi mahu hanya melihat dari jauh, mereka mahu terlibat, mahu perubahan, dan berani keluar dari kepompong selesa,” jelasnya dalam catatan di laman sosial.
Menurutnya lagi, salah seorang anak muda dengan penuh yakin menyatakan ‘kami nak Sabah maju. Kami nak jadi generasi yang ubah negara’.
“Suara mereka jelas. Semangat mereka tinggi. Mereka bukan lagi penonton bahkan mereka gergasi masa depan Sabah dan negara,” katanya
Beliau menambah, anak muda ada kuasa merubah.
“Kita boleh merubah yang tak baik jadi baik, yang baik jadi lebih baik.
“Jadi anak muda, kita berdiri bersama calon yang ikhlas bekerja, berani bersuara, dan dekat dengan realiti kehidupan rakyat yang sebenar,” ujarnya lagi
Ahmad melahirkan rasa kagum dengan semangat anak muda DUN Tanjung Batu yang sentiasa aktif dan menyambut baik program dan aktiviti kesukanan.
“Anak muda pilihlah calon nombor 2, Ahmad Dullah, calon terbaik N.71 DUN Tanjung Batu. ‘Tanjung Batu Sejahtera, Kita Untuk Semua’,” tambahnya.
DUN Tanjung Batu mempunyai 27,428 pengundi berdaftar yang akan memilih wakil rakyat baharu dalam PRN kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November 2025.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis beserta pasangan. – HARAKAHDAILY 19/11/2025




















