
KALABAKAN: Ahmad Dullah menyeru rakyat Sabah supaya bersama dengan perjuangan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.
“Terus bersama perjuangan kami kerana masyarakat adalah nadi perjuangan kami. Terjemahkan undi anda pada 29 November ini kepada calon-calon PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya yang bertanding di DUN Tanjung Batu.
Menerusi catatan di laman sosial beliau menyatakan kempen diteruskan dengan ramah mesra bersama masyarakat di Pasar Tanjung, Tawau, pasar yang cukup terkenal di bumi Tawau, semalam.
Beliau melahirkan rasa syukur dan teruja dapat turun bertemu para peniaga dan pengunjung di Pasar Tanjung.
Katanya, suasana penuh mesra, penuh senyuman, dan penuh harapan untuk melihat bumi Tawau terus maju ke hadapan.
Tambahnya, turut bersama menyemarakkan lagi suasana kempen itu dengan kehadiran Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar yang turut beramah mesra dengan pengundi.
“Sokongan padu yang dicurahkan buat kami, Ahmad Dullah, calon No.2 di DUN Tanjung Batu, Hasan Haris, calon No.2 DUN Merotai dan Dr Munzier Mahamud, calon No.10 di DUN Balung benar-benar menguatkan semangat kami untuk terus bekerja demi rakyat,” ujarnya. (Foto atas)
Dalam hantaran hari ini, beliau berkata 10 hari lagi rakyat akan memilih hala tuju Sabah.
“Hari ini saya bukan bercakap sebagai calon tapi sebagai anak Tanjung Batu yang dibesarkan di tanah ini,” katanya.
Tambahnya, beliau membesar dan melihat susah senang rakyat di Tanjung Batu.
Justeru, beliau memahami harapan, keluhan, dan impian yang lama menunggu perubahan.
“Hari ini saya berdiri bukan untuk janji manis, tapi untuk bekerja, mendengar dan bersama rakyat.
“Pada 29 November 2025, saya mohon sokongan untuk membawa suara Tanjung Batu lebih jauh,” tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 19/11/2025




















