Balung: Dr Munzier tekad bawa nafas baru perubahan

Dr Munzier Mahamud (berkaca mata) bersama petugas PERIKATAN NASIONAL menyantuni masyarakat DUN Balung.
- Advertisement -

TAWAU: “Sejujurnya saya tak pernah terfikir pun untuk bertanding,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Balung, Dr Munzier Mahamud.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau cuma seorang anak muda aktivis masyarakat yang sayangkan Balung sebagai tempat memberi khidmat sebagai doktor perubatan.

Bagi beliau, Balung ibarat pesakit kronik yang perlu dirawati.

“Ubatnya adalah wakil rakyat yang kerja kuat dan berintegriti. Saya bukan orang kuat berpolitik. Saya adalah doktor yang setia mengubati penyakit,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dr Munzier menegaskan lagi bahawa hadirnya bukan untuk bermain politik.

“Tapi saya bertekad untuk mengubati masalah di Balung yang saya kasihi. Moga dengan tekad ini mampu membawa nafas baru perubahan di Balung,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan mengenai tujuan turun ke akar umbi, mendekati masyarakat secara langsung agar setiap tindakan yang diambil nanti lebih tepat, bersasar dan memberi manfaat kepada ramai.

“Semoga usaha kecil hari ini membuka ruang kepada perubahan yang lebih besar untuk Balung,” ujarnya.

Pada PRN Sabah ke-17 ini, beliau berdepan dengan 10 calon daripada GRS, Rumpun, STAR, PPRS, PBK, Warisan, PIS, BN dan dua Bebas.

DUN Balung mempunyai 22,252 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 17/11/2025

- Advertisement -