Isyarat gelombang kebangkitan anak muda di Sabah

Hendri Hamsah
- Advertisement -

TAWAU: Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN) Sabah adalah simbol kepada kesediaan pemuda PN Sabah yang sudah siap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PN negeri, Hendri Hamsah, berkata PRN17 bakal menyaksikan kebangkitan gelombang anak muda yang berani menolak kepimpinan yang rasuah serta menuntut perubahan kepimpinan yang lebih bersih dan berintegriti.

Menurutnya, anak muda Sabah majoritinya sudah tidak tahan melihat dengan sikap pemimpin yang rasuah dan tidak berprinsip yang hanya menjaga kepentingan diri sendiri bukannya rakyat yang dipimpin.

“Hasil bumi Sabah sangat kaya, tetapi perkara ini tidak diurus dengan baik, menyebabkan ia menjadi harta kepada pemimpin yang rasuah.

“Inilah yang membangkitkan gelombang anak muda melawan ketidakadilan demi masa depan Sabah,” tegasnya dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional Sabah di Dataran PASTI Nurul Ilmi, Kinabutan, kelmarin. Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Azamudden

Beliau menekankan bahawa suara anak muda perlu menjadi pemangkin kepada perubahan kepimpinan negeri.

“Anak muda mesti tunjukkan bahawa kita mahukan perubahan yang baik untuk masa depan Sabah.

“Kita tidak mahu memilih pemimpin yang hanya hadir melawat tempat tinggal atau kampung-kampung lima tahun sekali, kita perlukan perubahan,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS negeri.

Beliau turut menyeru agar seluruh jentera Pemuda PN turun membantu calon-calon PN yang bertanding tanpa mengira parti komponen, selain mengelak pertelingkahan sesama sendiri.

“Jangan berbalah sesama parti komponen kerana ia hanya akan merugikan Perikatan Nasional itu sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau, Dr Munzier Muhamad berkata pemuda PN Sabah harus berperanan sebagai benteng utama dalam memastikan kemenangan rakyat serta masa depan negeri yang lebih sejahtera.

Beliau menyeru agar seluruh anggota pemuda berganding bahu memperkukuhkan kesepaduan demi perjuangan parti.

“Saya menyeru kepada semua sahabat pemuda, marilah kita melangkah ke medan perjuangan dengan penuh semangat dan keikhlasan, berpaksikan nilai integriti, perpaduan dan kesejahteraan untuk masyarakat Sabah khususnya dan Malaysia secara amnya,” katanya.

Menurutnya, perjuangan politik yang berpaksikan nilai integriti dan keikhlasan memerlukan persediaan rapi dari segi ilmu, strategi dan semangat juang yang tinggi agar ia terus subur demi kesejahteraan negeri Sabah.

Beliau menegaskan bahawa Pemuda PN perlu terus memainkan peranan sebagai penggerak utama dan nadi kekuatan parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di semua peringkat. – HARAKAHDAILY 27/10/2025

- Advertisement -