Gesa hormati hak rakyat bantah kehadiran Trump

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa rakyat mempunyai hak untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap mana-mana individu yang terlibat atau menyokong tindakan genosid.

Ia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menjadi penyumbang utama kepada kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, hak berhimpun secara aman itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati oleh semua pihak.

Menurutnya, demonstrasi yang diadakan adalah manifestasi bantahan rakyat terhadap Trump dan dasar luar Amerika Syarikat yang bersifat hipokrit terhadap masa depan Palestin.

“Melalui himpunan, rakyat Malaysia ingin menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia agar tidak melupakan peranan beliau sebagai individu utama yang menjadi penyumbang terbesar kepada kezaliman dan kekejaman genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketika pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia mengadakan bantahan dan demonstrasi terhadap Trump atas peranannya menyokong dasar kejam rejim Zionis, Malaysia pula seolah-olah mengambil langkah menyekat suara rakyatnya sendiri yang hanya ingin menyatakan pendirian secara aman.

“Pemuda PAS berpandangan himpunan aman bukan ancaman terhadap keselamatan negara, sebaliknya satu bentuk ekspresi rakyat yang cintakan keadilan, keamanan dan memperjuangkan kemerdekaan bumi Palestin,” tegas Ahli Parlimen Alor Setar itu.

Afnan berkata, kerajaan sewajarnya memberi ruang kepada rakyat untuk mengadakan demonstrasi bantahan terhadap kehadiran Trump ke Malaysia dan pada masa sama membawa aspirasi rakyat Malaysia yang menolak kezaliman serta genosid di Gaza.

“Kerajaan juga perlu menzahirkan pendirian yang jelas terhadap individu atau kuasa dunia yang bersubahat dalam jenayah kemanusiaan ini,” katanya. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan Himpunan Aman Bantah Trump yang dijadual di Ampang Park semalam dipindahkan ke Dataran Merdeka selepas polis menutup akses ke kawasan tersebut.

Penganjur menegaskan perhimpunan tetap diteruskan dan menganggap tindakan polis tidak menghormati hak rakyat berhimpun secara aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menjelaskan lokasi asal tidak sesuai kerana berhampiran zon merah melibatkan laluan rasmi delegasi ASEAN. – HARAKAHDAILY 27/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -