Undang tetamu beli, rupanya kita yang labur: Siapa untung?

Sambutan perlu beri manfaat kepada negara ASEAN, bukan sebaliknya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menegaskan, Sidang Kemuncak ASEAN perlu menjadi platform yang membawa manfaat ekonomi bersama kepada negara anggota, bukan sekadar menguntungkan pihak luar.

Beliau berkata, tujuan penganjuran sidang itu adalah untuk mengukuhkan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara ASEAN, bukannya menjadikan rantau ini sebagai pasaran atau sumber hasil kepada kuasa luar.

“Kita ‘undang’ tetamu dengan harapan tetamu beli produk kita, melabur di tempat kita. Sebaliknya, kita beli produk mereka, melabur di tempat mereka, jual mineral kepada mereka. Untungnya siapa?” ujarnya dalam media sosial miliknya yang bertajuk ‘Kenduri ASEAN’ hari ini.

Beliau menambah, selepas berakhirnya Sidang ASEAN, perlu dibuat penilaian terhadap jumlah perdagangan dan pelaburan masuk serta sesama negara ASEAN berbanding jumlah keluar ke luar rantau.

“Dengan populasi lebih 700 juta, biarlah kek kekayaan ASEAN sama dikembangkan, sama dikongsikan, supaya ‘kenduri’ besar di Kuala Lumpur membawa limpahan kebaikan kepada seluruh komuniti ASEAN,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Kerajaan bersetuju membolehkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Malaysia Airlines (MAS), Petronas, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membeli produk dari Amerika Syarikat.

Langkah itu dibuat di bawah perjanjian perdagangan baharu yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Langkah itu antara komitmen bagi membolehkan Washington menurunkan kadar tarif timbal balik terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

Perjanjian turut melibatkan pembelian pesawat Boeing, gas asli cecair (LNG), arang batu, serta produk telekomunikasi dan semikonduktor bernilai berbilion dolar.

Sebelum itu, Anwar mempertahankan jemputan kepada Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN dengan alasan Malaysia akan menggunakan platform itu untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Beliau menegaskan pendekatan diplomatik perlu diurus secara bijaksana demi mempertahankan prinsip keadilan dan kepentingan negara.

Anwar turut menolak pandangan yang menentang hubungan dengan AS kerana ia boleh menjejaskan ekonomi, terutama sektor eksport berteknologi tinggi.

Bagaimanapun sebaliknya berlaku apabila beliau memuji peranan Trump melalui pelan damai yang digagaskan pentadbirannya sebelum ini bersama beberapa negara.

Anwar menyatakan keyakinan bahawa keamanan di wilayah bergolak itu kini semakin hampir dicapai. – HARAKAHDAILY 27/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -