PAS Kelantan lancar buku ‘Tok Lebai Kemudi Negeri’

Rakam sejarah jatuh bangun PAS Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan 70 tahun PAS Kelantan dan 35 tahun pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam telah melancarkan sebuah buku yang mendokumentasikan perjalanan panjang perjuangan parti itu di bumi Serambi Makkah.

- Advertisement -

Buku berjudul Tok Lebai Kemudi Negeri mengandungi 16 bab yang membuka tirai dengan kisah kebangkitan orang Melayu ketika perjuangan awal menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Buku berkenaan ditulis Mazlan Mat Jusoh yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah dan wartawan berpengalaman di Harian Watan, Siasah serta Bernama.

Menariknya, selepas empat tahun penubuhan PAS di Seberang Perai, Pulau Pinang, parti itu mula bertapak secara rasmi di Kelantan pada tahun 1955, manakala cawangan pertama ditubuhkan di Pasir Mas pada 1953.

Perkembangan pesat PAS di Kelantan banyak dipengaruhi oleh kewujudan institusi pondok tradisional yang melahirkan ramai ulama dan pejuang Islam di negeri tersebut.

Golongan ulama menjadi tonggak awal yang menyokong dan menyebarluaskan pengaruh PAS sehingga berjaya menguasai pentas politik negeri.

Hasil daripada usaha berterusan itu, PAS akhirnya menumbangkan kerajaan Perikatan pada Pilihan Raya Umum pertama selepas kemerdekaan pada tahun 1959 dan sekali gus membentuk kerajaan Islam pertama di Kelantan.

Buku ini turut menyorot detik getir yang pernah dilalui PAS termasuk perpecahan dalaman pada tahun 1977 yang membawa kepada pengisytiharan darurat di Kelantan.

Selepas darurat ditamatkan, pilihan raya negeri diadakan pada Mac 1978 dan menyaksikan PAS tewas akibat perpecahan dalaman yang melahirkan parti BERJASA.

Namun kekalahan itu tidak mematahkan semangat juang PAS yang terus memperkukuh agenda tarbiah di seluruh jajahan negeri.

Turut digarap dalam penulisan itu, selama 12 tahun PAS menjadi pembangkang yang akhirnya memberi kejayaan besar pada tahun 1990 dengan kemenangan 39-0 ketika itu.

Usaha gigih tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila pada Pilihan Raya Umum 21 Oktober 1990, PAS bersama gabungan S46, BERJASA dan HAMIM berjaya menawan semula Kelantan dan kekal mentadbir negeri sehingga kini.

Pelancaran buku Tok Lebai Kemudi Negeri disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob.

Turut hadir Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama Setiausaha PAS Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Ketua Ulamak, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail serta Ketua Dewan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Pemuda, Mohd Firdaus Nawi, Ketua Himpunan Pendukung PAS, Lim Guan Seng serta Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Turut memeriahkan majlis ialah Pengerusi BERSATU Kelantan, Dato’ Kamarudin Md Noor, wakil parti komponen Perikatan Nasional, wakil rakyat, pimpinan kawasan serta ribuan penduduk tempatan.

Sebelum majlis pelancaran, para hadirin turut mengikuti kuliah perdana yang disampaikan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus dengan hampir 4,000 hadir pada program kemuncak yang berlangsung pada sebelah pagi hari ini. – HARAKAHDAILY 27/10/2025

- Advertisement -