Dahulu kontroversi video Visit Malaysia 2026, kini arak pula?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor mengecam keras tindakan yang cuba menormalisasi arak dalam acara rasmi kerajaan melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing, dalam majlis makan malam gala Global Travel Meet anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamad Suffi Kamari, berkata tindakan itu mencerminkan kegagalan Kerajaan Madani mengawal perilaku menterinya yang terus terpalit dengan pelbagai kontroversi.  

“Ini bukan kontroversi pertama tetapi adalah siri kontroversi yang tidak berkesudahan yang dilakukannya. Adakah beliau tidak belajar daripada kesilapan?  

“Mengapa Kerajaan Madani masih mengekalkan individu yang terpalit dengan pelbagai isu mengetuai sesebuah kementerian?  

“Paling malang adalah kementerian yang diterajui beliau adalah sebuah kementerian yang dipertanggungjawab untuk menaikkan imej negara.  

“Kekecewaan rakyat terhadap video montaj pelancaran Visit Malaysia 2026 masih belum pulih, kini beliau tampil pula dengan masalah yang baharu,” ujarnya dalam satu kenyataan.  

Beliau turut mengingatkan bahawa isu normalisasi arak bukan perkara baharu di bawah pentadbiran kerajaan kini, apabila insiden serupa pernah berlaku pada Julai 2024 di SJK (C) Tche Min, Sungai Pelek, kononnya bagi mengumpulkan dana untuk membina dewan serbaguna sekolah.  

“Lebih memilukan, parti rahmatan lil alamin juga seakan merestui normalisasi ini apabila seorang pemimpinnya seolah-olah bangga bersama cek replika syarikat arak di atas pentas acara tersebut,” kesalnya.  

Mohamad Suffi turut mempersoalkan tindakan Tourism Malaysia menjalin kerjasama dengan syarikat Starbucks yang mempunyai rekod negatif terhadap Palestin, sedangkan dunia ketika ini sedang menunjukkan solidariti kepada negara berkenaan.  

“Starbucks pernah menyaman kesatuan pekerjanya (tetapi menarik balik pada Januari 2025) hanya kerana mereka menyatakan solidariti terhadap Palestin, malah menuduh solidariti tersebut sebagai sokongan kepada keganasan.  

“Apakah sebenarnya mesej yang mahu disampaikan Tourism Malaysia kepada dunia? Batalkan sahaja kerjasama ini dan tampilkan jenama lain yang lebih mencerminkan identiti tempatan serta tidak terpalit dengan kontroversi pro-Israel,” tegasnya.  

Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor tegasnya mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej negara melalui cubaan normalisasi arak dalam acara rasmi kerajaan.  

“Justeru, Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan agar segera menilai semula kepimpinan Dato’ Sri Tiong King Sing serta membatalkan kerjasama yang tidak membawa manfaat kepada imej negara dan maruah umat Islam,” katanya. -HARAKAHDAILY 6/10/2025

- Advertisement -