
KELANTAN dalam sisi terang dan gelap rakyat Malaysia tetap dianggap sebagai kubu PAS. Antara institusi yang dikaitkan dengan pemangkin kekuatan PAS ialah sekolah pondok, institusi pendidikan rakyat yang mempunyai sejarah panjang dalam membina akar budaya ilmu kepada masyarakat Kelantan. Berkembang dalam abad ke-18 dengan pengalaman emas pengukuhan kefahaman Islam, merancak dan meranum dalam abad ke-19 terutamanya selepas tahun 1832 iaitu selepas kejatuhan Pattani Darussalam kepada Siam yang membawa penghijrahan skala besar para alim ulama Pattani ke Kelantan dan juga Terengganu.
Generasi pondok inilah yang membina kesedaran menentang penjarahan kuasa asing di Kelantan. Kebangkitan Tuan Guru Hasan Munas di Pasir Puteh pada tahun 1915, pemupukan budaya intelektual masyarakat Kelantan melalui majalah Pengasuh oleh Tok Kenali. Generasi pondok dari Kelantanlah paling ramai mendapat pendidikan tinggi di luar negara sebelum Perang Dunia Kedua, bermukim ilmu ke India, Makkah, Mesir, Pakistan dan lain-lain negara.
Madrasah dan pondok sebagai institusi pendidikan Islam dalam denai sejarahnya telah menyumbang kepada ejen transformasi dalam masyarakat negara ini. Sumbangan institusi ini dalam mencerdaskan bangsa, mengikis kejahilan serta menyental saki baki asimilasi Hinduisme serta animisme dalam masyarakat Melayu serta mengobarkan semangat penegakan nilai-nilai Syariah di Tanah Serendah Sekebun Bunga ini yang juga kontradik dengan nilai jahiliah Melayu seperti ikon kemaksiatan ‘Paris Malaya’, puja pantai, bersemah dan sebagainya.
PAS wajib mengenang dan mengekalkan dukungannya kepada institusi pondok dan madrasah kerana dilahan merekalah PAS bermula lantas berkembang subur menjadi penyebar diaspora fikrah perjuangan PAS.
Penulis hadir berkongsi pentas dalam Ijtimak Pondok Se-Malaysia 5.0 di Pondok Gelam Emas, Pasir Mas minggu ini. Ribuan santri dan asatizah membanjiri kawasan pondok walaupun hujan merintik perlahan. Guratan bersih wajah-wajah pejuang agama ini melahap isi ceramah menghantar isyarat, Kelantan Serambi Makkah akan terus menjadi pangkalan kuasa kepada PAS.
Selepas kemenangan fasa kedua PAS di Kelantan pada tahun 1990, semua Menteri Besar Kelantan adalah daripada benih ilmu pondok. Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, anak ulama besar Tuan Guru Nik Mat Alim yang tersohor di Kelantan Hilir. Ustaz Dato’ Ahmad Yakob yang lahir pada tahun 1950 adalah anakanda kepada Tuan Guru Yakob Pondok Berangan yang pernah mendekam dalam tahanan ISA pada tahun 1960-an. Menteri Besar Kelantan terkini, Dato’ Panglima Perang Nassuruddin Daud yang menjadi Menteri Besar mulai Ogos 2023 adalah anakanda kepada Tuan Guru Daud Meranti, yang juga bekas ADUN Tumpat Barat selama sepuluh tahun.
PAS di Kelantan dibawa oleh bekas ahli bomba, Amaluddin Darus namun disebarkan kepada penggerak-penggerak sekolah pondok di Kelantan. Ustaz Amaluddin mengadakan ziarah kepada Tuan Guru pondok serta menerangkan aspirasi perjuangan PAS. Tuan Guru pondok-pondok di Kelantan menyambut baik penerangan Ustaz Amaluddin berkenaan nuansa perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam. Kawasan yang subur dengan tradisi pondok ini pula terbukti menjadi kawasan yang kuat menerima pengaruh PAS. Secara tidak langsung negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi pertapakan kepada PAS dalam meluaskan sokongan massa.
Pimpinan PAS terus memanfaatkan ruang untuk mendekati guru-guru pondok kerana kedudukan guru pondok yang dihormati dalam hierarki masyarakat Melayu. Menguasai guru pondok bermakna PAS akan terus relevan kepada masyarakat, ini adalah kerana justifikasi sosial seseorang guru agama dengan kebenaran. Di Kelantan pada zaman awal penubuhan PAS usaha-usaha terus dibuat untuk mendapatkan dukungan guru-guru pondok.
Dalam jajahan Bachok pula ialah Tuan Guru Muhammad, Tuan Guru Awang Padang, Tuan Guru Muhammad Zain Osman dan beberapa orang lagi tokoh ilmuan Islam. Manakala di sebelah Tumpat, Tuan Guru Sulaiman Omar, Tuan Guru Yaakob Kelong, Tuan Guru Daud Geting dan lain-lain lagi. Manakala di Jajahan Machang ialah Tuan Guru Razali Ismail di Pulai Chondong dan Tuan Guru Wan Yusuf Che Tengah. Di Kuala Krai ialah Tuan Guru Abdul Rahman Sulaiman. Di Tanah Merah ialah Tuan Guru Nik Daud Bukit Remah. Di Pasir Puteh, Tuan Guru Muhammad di Selising, Tuan Guru Abdul Muttalib Bukit Abal, Tuan Guru Daud Bukit Abal dan lain-lain lagi.
Kejayaan PAS merengkuh sokongan kelompok agamawan pondok adalah kerana cita-cita politik Islamnya diterima oleh rakyat Kelantan, Kedah, Perlis serta Terengganu kerana rakyat negeri-negeri ini memandang tinggi tok guru dan guru-guru agama yang menjadi calon-calon parti itu. Sejak penglibatan awal PAS dalam persaingan demokrasi negara ini, pengaruh tok-tok guru ini cukup kuat pada masa itu, iaitu apabila guru-guru pondok ini memberi sokongan kepada PAS, juga rakyat juga mudah terpengaruh dan mencontohinya seperti yang berlaku kepada Tuan Guru Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payong, Kelantan. Begitu juga dengan kemenangan Tuan Guru Ahmad Hussien pada tahun 1955 di Parlimen Krian, Perak.
Pondok telah menjadi sebahagian institusi yang penting dalam Pendidikan Islam di alam Melayu ini termasuk di Indonesia, Thailand selain di Malaysia. Pondok dan PAS telah begitu sinonim dan dikenal pasti semenjak dekad 1950-an lagi, guru-guru dan pelajar pondok telah mendukung PAS.
Pandangan bahawa pondok dan tuan guru pondok telah memberikan lonjakan besar terhadap pengaruh PAS turut dipersetujui oleh tokoh veteran PAS Kelantan, Salahuddin Abdullah (2010):
“Boleh dikatakan majoriti tokoh-tokoh agama di Kelantan menyokong penuh perjuangan PAS. Mereka terdiri daripada para tuan-tuan guru yang memimpin pondok-pondok pengajian agama di seluruh negeri Kelantan dan menggunakan pengaruh mereka untuk kepentingan PAS. Antara mereka ialah Tuan Guru Abdul Ghani Kubang Bemban, Pasir Mas. Tokoh ini telah memberi sokongan padu kepada PAS dan menyebarkan konsep perjuangan PAS kepada rakan-rakan sejawatnya, tuan-tuan guru yang lain di Pasir Mas. Di Kota Bharu, Tuan Guru Abdullah Tahir, Bunut Payong begitu amat menonjol menyokong PAS meskipun sudah agak berusia. Beliau sering diwakili oleh menantunya, Tuan Guru Husin Rahimi. Di Kubang Kerian, Tuan Guru Ahmad Kenali, Tuan Guru Abdul Aziz, Tuan Guru Mustafa Abu Bakar di Pondok Terusan Limbat, Tuan Guru Hasan Ketereh, Tuan Guru Ismail Perol, Tuan Guru Yusuf Padang Kala dan semua tok-tok guru institusi pondok di Kota Bharu ini menjadi penyokong PAS.”
Di Kelantan, dengan kemenangan PAS pada tahun 1990, menyaksikan sekolah-sekolah pondok yang sedia ada mengalami penyuburan dan rangsangan daripada kerajaan negeri. Antaranya dengan penubuhan Pusat Pembangunan Pondok, bantuan one-off, penubuhan pondok moden di Kandis, Bachok. Kelantan selepas tahun 1990 menyaksikan juga penubuhan pondok-pondok baru di seluruh negeri itu. Di samping itu, kerajaan negeri Kelantan juga menyediakan sumbangan kepada pusat-pusat pengajian pondok. Ini dilakukan sebagai mengenangkan jasa yang telah disumbangkan oleh pusat pengajian tersebut dalam mengembangkan agama Islam. Ia juga berperanan memastikan Islam itu sentiasa terpelihara sebagai warisan dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini.
Menteri Besar Kelantan dalam ceramah kemuncak Ijtimak Pondok Se-Malaysia 5.0 mengimbau peranan dan komitmen generasi Pondok Kelantan. Para alim ulama Pondok Kelantan juga memimpin PAS kawasan-kawasan, contohnya Tuan Guru Abdul Ghani yang memimpin PAS Kawasan Pasir Mas. Pimpinan ini berkorban menginfakkan seribu ringgit seorang untuk membina markas PAS (jumlah yang besar saat itu).
Penggerak Pondok Kelantan jugalah yang ditahan di bawah ISA dalam dekad 1960-an termasuk Pak Nik Lah. PAS adalah wadah perjuangan bagi penggerak serta santri Pondok sehingga tertegaknya Syariat Islam di tanah air ini.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
ADUN Jerteh – HARAKAHDAILY 6/10/2025











