
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, Balendran Balasubramaniam menegaskan bahawa pelancongan Malaysia seharusnya dipromosikan berlandaskan kepelbagaian budaya.
Ia termasuk warisan dan tradisi unik masyarakat Malaysia, bukan melalui penganjuran pesta atau perarakan yang menonjolkan elemen tidak selari dengan nilai tempatan.
Beliau berkata, usaha memajukan industri pelancongan tidak seharusnya mengorbankan maruah, adat dan akhlak masyarakat.
Negara ini tegasnya, tidak melarang pelancong bukan Islam daripada mengambil minuman beralkohol.
Namun, adalah tidak wajar dan tidak beretika apabila perkara tersebut dipromosikan secara terbuka dalam program rasmi kerajaan, terutamanya di bawah jenama Tourism Malaysia 2026 yang sepatutnya mencerminkan identiti dan nilai budaya negara.
“Persoalan besar timbul, apakah motif di sebalik penganjuran aktiviti sebegini dan siapakah yang bertanggungjawab meluluskannya?
“Jika benar program tersebut dianjurkan oleh pihak swasta, Menteri Pelancongan tetap harus mengambil langkah tegas untuk menghentikan sebarang unsur yang mencemarkan imej Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Balendran berkata, Malaysia tidak boleh terus hanyut dalam budaya barat hingga melupakan jati diri dan nilai ketimuran yang menjadi asas keharmonian negara ini.
Beliau menegaskan Menteri Pelancongan wajar mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini dan demi menjaga integriti kerajaan, seharusnya mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan beliau dengan kadar segera.
“Perkara ini seharusnya menjadi satu pengajaran kepada seluruh jemaah menteri dan pentadbiran Kerajaan Madani agar lebih peka terhadap sensitiviti rakyat. Jangan sesekali memperlekeh atau menyinggung perasaan rakyat Malaysia yang amat menghargai nilai moral dan budaya bangsa.
“Rakyat boleh bersabar tetapi jangan sampai kesabaran itu diuji berulang kali. Hormatilah batas dan had yang telah lama menjadi tunjang kepada keharmonian dan perpaduan negara,” katanya. -HARAKAHDAILY 6/10/2025











