
ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menegaskan bahawa usaha memperkukuh semangat inklusif dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) perlu terus diperkasakan agar setiap lapisan masyarakat sentiasa dihargai dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan negeri.
Baginda bertitah bahawa kesejahteraan masyarakat yang menyeluruh hanya dapat dicapai melalui jalinan erat antara kerajaan, sektor swasta, badan masyarakat sivil serta seluruh rakyat bagi membentuk ekosistem inklusif yang menjamin keadilan sosial dan kesejahteraan bersama.
“Antara langkah yang wajar diberi perhatian termasuklah memperluas akses pendidikan, meningkatkan kualiti kesihatan, membuka peluang pekerjaan serta menyediakan prasarana awam yang selesa dan mesra pengguna,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau di sini Sabtu lalu.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.

Majlis anjuran JKM Negeri Perlis itu diadakan bagi menghargai, meraikan dan menyantuni tiga kelompok penting masyarakat terdiri daripada warga emas, kanak-kanak dan OKU yang memainkan peranan besar dalam membentuk kesejahteraan sosial negeri.
Penganjuran program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menjaga kebajikan warga emas, mendidik serta melindungi kanak-kanak sebagai pewaris masa depan.
Selain itu, ia turut mengiktiraf sumbangan golongan OKU agar mereka tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.
Sambutan tersebut turut menjadi wadah memperkukuh nilai kasih sayang, mempererat hubungan kekeluargaan dan memupuk semangat perpaduan masyarakat seiring usaha kerajaan dalam merangka dasar serta program mesra komuniti demi kesejahteraan bersama.
Pada majlis tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian sambutan serta menyampaikan Anugerah Khas Jasamu Dikenang, Anugerah Khas Kanak-Kanak Huffaz Muda dan Anugerah Khas Ibu Bapa OKU kepada penerima-penerima terpilih. -HARAKAHDAILY 6/10/2025




















