Majlis hidang arak, Madani gagal dalam tindakan

- Advertisement -

GEORGETOWN: PAS Pulau Pinang mengecam keras tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang didakwa membenarkan hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid, dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mencemar nama baik perkhidmatan awam, malah menimbulkan persoalan besar terhadap integriti, sensitiviti dan maruah pentadbiran kerajaan Madani.

“Di mana prinsip integriti dan akauntabiliti yang menjadi slogan utama kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX)?” soal beliau.

Beliau juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap Pekeliling Perbendaharaan Malaysia yang melarang penyediaan minuman keras dalam sebarang keraian rasmi kerajaan.

Menurut Anas Soffy, Menteri Pelancongan tidak boleh menafikan penglibatan MOTAC dalam majlis tersebut kerana portal antarabangsa BizToday News sendiri telah mengesahkan bahawa majlis berkenaan adalah anjuran Tourism Malaysia, sebuah agensi di bawah MOTAC.

Katanya, alasan ‘budaya pelancongan’ atau ‘acara antarabangsa’ tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menghalalkan arak dalam majlis rasmi kerajaan.

“Majlis rasmi kerajaan bukan pesta arak. Ia sepatutnya mencerminkan nilai, disiplin dan imej negara. Sebarang usaha menafikan penglibatan kementerian hanyalah cubaan menipu rakyat,” tegasnya.

Anas turut mengingatkan bahawa kegagalan PMX memecat Menteri Pelancongan akan menjadi ‘precedent’ buruk dalam tatakelola kerajaan.

Tambahnya, ia menggambarkan bahawa pelanggaran peraturan hanya diambil tindakan jika dilakukan oleh penjawat awam bawahan, sedangkan jika melibatkan menteri, ia boleh diabaikan.

“Ini mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan kini mengamalkan double-standard dan hipokrasi dalam pentadbiran,” ujarnya.

“Sejak tertubuhnya Madani, pelanggaran tatakelola penjawat awam sering dilakukan sesuka hati, bermula dengan pelantikan menteri yang sedang dibicara di mahkamah hinggalah yang kesnya digugurkan. Jika penjawat awam dibicara, mereka digantung tugas sehingga kes selesai,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Madani semakin pudar, dan sekiranya PMX tetap mempertahankan Menteri Pelancongan tersebut tanpa tindakan tegas, maka kepercayaan rakyat terhadap sistem undang-undang dan tadbir urus negara akan terus hancur.

“Adakah kerajaan Madani ini hanya Madani pada slogan tetapi gagal dalam tindakan?” soalnya lagi. -HARAKAHDAILY 6/10/2025

- Advertisement -