
KANGAR: Perlis sekali lagi melakar sejarah apabila diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi yang dijadual berlangsung pada 27 April hingga 2 Mei ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran MTHQK di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis hari ini menyifatkannya sebagai satu detik bermakna dalam mengangkat Kalamullah serta memperkukuh syiar Islam di negeri ini.
“Majlis ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi wahana untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran, membudayakan pembacaan, pemahaman dan penghayatan isi kandungannya dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan kepada Perlis dan menyatakan komitmen penuh kerajaan negeri dalam memastikan majlis berprestij ini berjalan dengan penuh kemuliaan serta keberkatan.
Menurutnya, sejarah penganjuran tilawah al-Quran di Malaysia bermula sejak tahun 1947 dan terus melalui pelbagai transformasi, termasuk penganjuran serentak majlis tilawah dan hafazan yang bermula pada tahun 2017, dikenali sebagai MTHQK.
“Al-Quran bukan sekadar kitab bacaan tetapi panduan kehidupan yang sempurna. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 9 menyebut bahawa al-Quran memberi petunjuk ke jalan yang lurus dan berita gembira buat orang beriman,” kata beliau memetik ayat suci al-Quran.
Mohd Shukri turut menekankan peranan MTHQK dalam membina generasi muda yang bukan hanya fasih dalam bacaan, tetapi juga menerapkan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Dalam masa sama, jelasnya majlis ini juga berpotensi merancakkan ekonomi negeri dengan kehadiran delegasi dari seluruh negara yang akan menginap, membeli-belah dan melawat tempat-tempat menarik di Perlis.
“Program ini turut memperkenalkan Perlis sebagai negeri ilmu apabila delegasi berpeluang mengikuti kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid sekitar negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program Perkampungan Sunnah Siri Ke-10 akan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei bertempat di Masjid Alwi, Kangar dan dijangka menerima kunjungan ramai, termasuk peserta MTHQK.
“Paling penting, kehadiran para tetamu memberi peluang menjalin silaturahim antara mereka dan rakyat negeri ini secara amnya,” ujarnya lagi.
Dalam ucapannya, Mohd Shukri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran MTHQK termasuk penganjur, jawatankuasa, agensi-agensi kerajaan serta para penaja.
Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Rahimi Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan. – HARAKAHDAILY 10/4/2025




















